
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan membicarakan rayuan terakhir Datuk Seri Najib Razak berhubung sabitan dan hukuman dikenakan dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Dalam usaha saat-saat akhirnya merayu membatalkan sabitan kesalahan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta di Mahkamah Persekutuan hari ini (23 Ogos 2022), Datuk Seri Najib Razak mengalihkan perhatian kepada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Bekas Perdana Menteri yang didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan jenayah melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik, memohon Tengku Maimun menarik diri.
Alasannya menurut laporan MalayMail ialah penemuan baharu oleh Najib yang didakwa ada kaitan dengan Tengku Maimun.
Memetik laporan portal media itu, dalam afidavit sokongan berhubung permohonan meminta Tengku Maimun menarik diri, Najib mendakwa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan terhadapnya tertakluk kepada keraguan selepas dia baru-baru ini memperoleh petikan catatan Facebook yang dibuat “Zamani Ibrahim” pada Mei 2018.
Menurut Najib, dia benar-benar percaya individu yang disebut di atas adalah suami Ketua Hakim Negara, yang juga pengerusi panel hakim yang mendengar rayuan terakhirnya.
“Saya benar-benar percaya bahawa perkembangan ini sangat mengganggu, memandangkan Zamani Ibrahim dengan jelas mempunyai sentimen negatif terhadap kepimpinan saya di negara ini semasa saya menjadi perdana menteri dan telah membuat kesimpulan saya telah menyeleweng dana berdaulat kerajaan ke dalam akaun peribadi saya.
“Sebagai suami kepada pengerusi yang mengadili rayuan saya, berkemungkinan dia akan mempengaruhi pemikiran pengerusi tentang dakwaan saya bersalah.
“Saya seterusnya menyatakan bahawa memandangkan sifat hubungan suami isteri mereka, kemungkinan besar minda pengerusi itu secara tidak sedar akan dipengaruhi oleh sentimen terhadap saya yang dipegang oleh suaminya,” tulis Najib.
Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan menjatuhi hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Mohd Nazlan memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak. Dia dibebaskan dengan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu pelupusan rayuan itu.
Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara dan denda.