Penduduk tawakal berlindung di atas bumbung surau

Doa, zikir dan tawakal menjadi peneman kira-kira 100 penduduk Taman Sri Nanding, Hulu Langat Selangor yang menyelamatkan diri daripada banjir dengan memanjat bumbung Surau Al Munir Sabtu minggu lalu.

Mereka terperangkap di atas bumbung  lebih 12 jam dalam keadaan kesejukan. Lebih menyedihkan mereka menyaksikan sendiri kediaman dan kenderaan mereka ditenggelami air banjir yang deras.

Salah seorang penduduk, Puteri Nadia Natasha Mohamed Ramzan, 24, berkata, penduduk terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung surau berikutan air naik pada paras tertinggi meskipun dalam keadaan kesejukan akibat hujan renyai.

“Saya antara penduduk yang menetap di Taman Sri Nanding, namun sempat menyelamatkan diri keluar dari kawasan bencana. Namun ada beberapa rakan yang tidak sempat keluar terpaksa berlindung atas bumbung surau sementara menunggu bantuan tiba,” katanya yang menyaksikan video rakaman rakannya yang berada di atas bumbung tersebut.

Jelas Puteri Nadia, lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan bayi, wanita mengandung, pesakit kronik dan warga emas terpaksa menumpang teduh di atas bumbung terbabit.

“Rumah kami kebanyakannya sudah tenggelam dan keadaan semakin teruk apabila air dari Sungai Pangsun melimpah deras ke penempatan penduduk.

“Banyak kerugian harta benda dialami dan sebahagian kereta yang tidak sempat diselamatkan tenggelam selain operasi menyelamat berdepan kesukaran,” jelasnya.

Sementara itu, Zahrin Nordin, 66, masih terbayang-bayang kejadian itu ketika dia bersama isteri dan anaknya yang kurang upaya berlindung di atas bumbung surau, dikelilingi banjir yang mengalir deras sepanjang malam.

“Insiden itu bermula selepas solat Isyak apabila saya pulang dari surau. Kemudian, saya terpaksa bergegas kembali ke surau bersama keluarga apabila banjir deras masuk ke kawasan perumahan.

“Ketika itu banjir nampak macam sungai, air mengalir amat deras. Sepanjang malam, kami duduk berzikir dan berdoa supaya semua selamat.

“Keesokan harinya, bot penyelamat sampai sekitar jam 10 pagi ketika air sudah mula surut ke bawah paras dada, sebelum kami di bawa ke Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding untuk berlindung dan diberi makanan, iaitu biskut sekitar jam 12 tengah hari,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dusun Nanding, Kamarudin Alias, berkata penduduk yang berlindung di surau itu bernasib baik kerana kontraktor yang membaiki bumbung surau meninggalkan tangga di situ.

“Minggu sebelum banjir, kita baru baiki surau dan kontraktor tinggalkan tangga di situ. Tangga itulah yang digunakan penduduk, termasuk yang berkerusi roda dan terlantar untuk panjat ke atas bumbung.

“Ini semua aturan Allah. Jika bumbung itu tidak dibaiki, belum tentu ia dapat menampung hampir 100 orang di atasnya,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR