
Banjir kilat di Kulai. Gambar ihsan orang ramai dalam media sosial.
Sambutan Aidilfitri pada hari kedua disambut penduduk kampung di Kulai dalam banjir selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir kilat.
Menurut laporan, lebih 50 penduduk Kampung Sri Rahmat di Kulai melibatkan sebanyak 25 buah rumah terjejas selepas air melimpah di Sungai Ulu Pontian Besar pada pagi Selasa.
Bencana banjir itu menjejaskan sebahagian penduduk yang baharu mula menyambut Aidilfitri semalam dan ada yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern turun meninjau dan membantu mangsa-mangsa banjir yang berada dalam kawasannya itu.
Sen Sern berkata, kesemua mangsa banjir dalam keadaan selamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kesemua mangsa yang terbabit dinasihatkan untuk membuat laporan polis untuk taksiran jumlah kerugian.
“Esok pagi saya akan turun padang lagi bagi meninjau keadaan semasa,” katanya.
Sementara itu, ADUN Senai, Wong Bor Yang berkata, laluan masuk ke beberapa kebun di Kampung Baru Sengkang, Senai juga diancam banjir kilat.
Menurutnya, walaupun hujan berhenti pada jam 6 awal pagi hari ini, air masih tidak mengalir ke Sungai Skudai.
“Berdasarkan maklumat laman web publicinfobanjir.gov, paras air di Sungai Skudai di stesen Kampung Separa pada 7 pagi dicatatkan pada tahap merah atau bahaya.
“Hujan semalam juga adalah luar biasa, iaitu mencapai bacaan 31 hingga 60 milimeter (mm).
“Punca banjir di kebun di kawasan berkenaan adalah hujan lebat selain sistem perparitan dan saliran serta ia perlu dinaik taraf,” katanya.