Pendedahan pembabitan suami Zeti bukan perkara baharu, kata SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan pendedahan bekas Pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara, Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat dalam kes berkaitan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang melibatkan Datuk Dr Tawfiq Ayman, bukan sesuatu yang baharu.

Malah, SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas pada hujung 2018 telah menyelaraskan siasatan SPRM dan polis berhubung pembabitan Tawfiq, yang juga suami bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Harus dijelaskan bahawa isu ini bukan sesuatu yang baharu. Bekas Peguam Negara pada hujung 2018 telah menyelaras koordinasi siasatan antara SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan kes ini.

“Menerusi koordinasi tersebut, fokus SPRM adalah untuk mengenal pasti serta mendapatkan semula dana terkait dengan kes 1MDB termasuk sejumlah AS$15.4 juta yang melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik Tawfiq,” kata SPRM.

Menurut kenyataan itu lagi pada 19 November 2021 lalu, SPRM telah mengeluarkan kenyataan media mengesahkan pemulangan tersebut.

SPRM berkata fokus siasatan agensi itu dalam kes berkaitan 1MDB yang melibatkan Tawfiq adalah untuk mengenal pasti serta mendapatkan semula dana terkait dengan kes itu.

Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa Pejabat Peguam Megara telah mengarahkan polis menumpukan kepada aspek kesalahan jenayah berhubung penerimaan wang tersebut ke dalam akaun milik Tawfiq di Singapura dan siasatan masih berjalan sehingga kini.

“Penyelarasan ini adalah untuk mengelakkan pertindihan dalam siasatan melibatkan pengumpulan bukti-bukti dan keterangan mereka yang terlibat serta sebagai kemudahan untuk berurusan bersama pihak Singapura yang memberi keutamaan kepada satu agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan kesalahan jenayah.

“Sehubungan itu, tidak timbul isu kegagalan mana-mana agensi penguat kuasa untuk mengesan, menyiasat dan mendakwa apa-apa kesalahan dalam transaksi kewangan tersebut seperti yang dibangkitkan oleh segelintir pihak,” kata SPRM

BERITA BERKAIT
POPULAR