
Pendatang asing tanpa izin menunggu giliran di tempat letak kereta KLIA sebelum ke kaunter Jabatan Imigresen yang dibuka untuk mereka pulang ke negara masing-masing setelah memenuhi syarat ditetapkan. - Gambar Imigresen
Tarikh akhir bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Buruh yang membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) pulang ke negara masing-masing secara bebas, tamat tengah malam tadi.
Keadaaan ini menyebabkan ribuan PATI dilaporkan ‘berkhemah’ di pintu keluar sempadan Malaysia di lapangan terbang utama dan terminal feri, setelah membuat keputusan untuk pulang ke negara mereka pada saat akhir.
Ramai dalam kalangan mereka dilihat sedang tidur di tempat letak kereta dan memenuhi ruang rehat berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, menurut laporan The Star.
“Beratus-ratus tidak dapat menaiki penerbangan yang dijadualkan kerana kakitangan kaunter tidak dapat menangani jumlah yang terlalu ramai,” kata akhbar berbahasa Inggeris itu.
Laporan itu juga mengatakan bahawa berpuluh-puluh PATI Indonesia dilihat bergegas meninggalkan Johor Bahru sebelum tengah malam dengan ramai berkumpul di terminal feri Stulang Laut menunggu feri untuk membawa mereka pulang ke Indonesia.
Konsul Indonesia (hal ehwal budaya dan sosial) di Johor Bahru Mohamad Rizali Noor, memberitahu mereka telah menjangkakan orang ramai dalam beberapa hari terakhir program dan kakitangan telah dikerahkan untuk memantau keadaan dan memberikan bantuan.
“Mereka yang ingin pulang perlu mendapatkan memo daftar keluar daripada Jabatan Imigresen Malaysia selepas membayar kompaun yang diperlukan,” katanya dipetik sebagai berkata.
Bagaimanapun, Jabatan Imigresen dilaporkan hanya boleh mengeluarkan sebilangan terhad memo daftar keluar setiap hari.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin pada sidang media di Bukit Aman berkata amaran yang mencukupi telah diberikan di bawah program berkenaan dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang mengabaikan undang-undang selepas tarikh akhir.
“KDN dan agensi lain akan menjalankan operasi besar-besaran bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai pasport yang sah dari negara asal dan mempunyai dokumentasi yang sah untuk bekerja di sini.
“Jika anda ditangkap dan dipenjarakan, jangan marah dan salahkan Jabatan Imigresen atau kementerian saya kerana kami telah memaklumkan perkara ini kepada semua orang dan kami mempunyai kuasa di bawah Akta Imigresen,” kata Hamzah.
Program itu dimulakan semula pada November 2020 dan membenarkan PATI pulang ke negara masing-masing dalam tempoh tertentu secara bebas.
Tarikh akhir ditetapkan pada 30 Jun tahun lalu, tetapi dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021. Ia kemudiannya dilanjutkan sekali lagi sehingga semalam (30 Jun 2022).