Pendakwah bebas ditahan kes amang seksual budak lima tahun

Polis menahan seorang penceramah bebas bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang juga anak rakannya di sebuah rumah bot di Hulu Terengganu, pada Selasa.

Lelaki berusia 61 tahun ditahan di Balai Polis Ajil, Hulu Terengganu ketika hadir memberi keterangan, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Suffian Sulaiman.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku Mac lalu ketika mangsa berusia lima tahun mengikuti keluarganya yang menyertai program diadakan suspek di rumah bot berkenaan.

Beliau berkata, suspek didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

“Ketika kejadian, mangsa hanya ditemani ayah dan neneknya sementara ibu mangsa tidak mengikuti program berkenaan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Suffian berkata, difahamkan, mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebaik pulang daripada program berkenaan sebelum satu laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut.

“Suspek kini direman selama dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.

Mengikut istilah Bahasa Melayu, amang seksual adalah tindakan seseorang yang sengaja menyentuh orang lain secara seksual tanpa kerelaan mangsa, atau perbuatan memaksa mangsa secara fizikal untuk melakukan perbuatan seksual yang bertentangan dengan kehendak mangsa.

Ia bersinonim dengan serangan seksual.

BERITA BERKAIT
POPULAR