
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdepan 40 tuduhan jenayah, termasuk rasuah, di Mahkamah Tinggi Shah Alam membabitkan wang lebih SG$13,56 juta.
Pihak pendakwaan hari ini menutup kes terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap 40 pertuduhan jenayah, termasuk menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), berkaitan kontrak visa asing luar negara (VLN).
Sebelum ini pihak pendakwaan telah memanggil 18 saksi dan mengemukakan lebih 100 dokumen kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membuktikan jenayah dilakukan bekas Menteri Dalam Negeri itu.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini pihak pendakwaan menutup kesnya secara rasmi selepas saksi ke-18 dan terakhirnya, Penguat Kuasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) V Mahendran, memberi keterangan dari kandang saksi.
Beliau berkata pihak pendakwaan juga akan menawarkan senarai 27 saksi yang boleh dipanggil Zahid untuk memberi keterangan dalam pembelaannya, jika Mahkamah Tinggi memutuskan untuk memanggil Zahid membela diri.
Nama-nama yang dibacakan oleh Raja Rozela termasuk Ketua Eksekutif Pusat Jenayah Kewangan Negara Datuk Seri Mustafar Ali, beberapa pengarah yang syarikat mereka dikaitkan dengan UKSB berhubung kontrak VLN, penyiasat SPRM, pengurup wang serta bekas dan pegawai kerajaan sedia ada.
Perbicaraan Ahmad Zahid bermula pada 24 Mei 2021.
Susulan penutupan kes pendakwaan hari ini, Mahkamah Tinggi menetapkan 1, 2, 5, 6, 7 dan 8 September untuk hujahan lisan bagi kedua-dua pihak mengemukakan hujah akhir mereka di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa yang akan memutuskan sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid.
Keputusan pada akhir kes pendakwaan adalah sama ada terdapat kes yang mencukupi untuk Zahid dipanggil membela diri atau sama ada dia akan dibebaskan daripada pertuduhan itu.
Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.
Presiden UMNO itu didakwa melakukan semua perbuatan berkenaan di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.