
Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak didakwa menyalahgunakan kuasa ketika menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk meminda laporan akhir audit 1MDB, manakala bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy pula dituduh bersubahat.
Hampir tiga tahun berlangsung perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak dalam meminda Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hari ini pihak pendakwaan menutup kes selepas selesai hujahan mereka.
Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, menutup hujahan hari ini dengan menawarkan pihak pembelaan 18 saksi yang akan mewakili Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
“Kami dengan ini menutup kes pendakwaan dan menawarkan 18 saksi kepada pembelaan,” katanya dipetik laporan BH.
Perbicaraan kes Najib dan Arul Kanda dipengerusikan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan
Mahkamah kemudian menetapkan pada 7 Oktober bagi kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis dan hujahan balasan pada 14 Oktober sebelum mendengar hujahan berkenaan pada 28 Oktober ini.
Antara saksi yang ditawarkan pendakwaan ialah bekas pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad; dan bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Perbicaraan kes pindaan laporan audit yang yang memakan masa selama 43 hari bermula pada 18 November 2019, mendengar keterangan beberapa saksi penting antaranya bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad; serta Shahrol Azral.
Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu ‘sekali lagi dimuktamadkan’ dan dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.
Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Pada 24 Jun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi dan memberikan keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Mohamed Zaini berkata, keputusan sama ada Arul Kanda boleh diberikan indemniti (pengecualian liabiliti undang-undang) dan dibebaskan daripada tuduhan hanya akan diputuskan mahkamah di akhir kes pendakwaan.