Pemimpin digesa henti bercakaran, utamakan rakyat: Khutbah Aidiladha

Khutbah Aidiladha Masjid Negara hari ini menggesa pemimpin masyarakat supaya tidak menjadi individu yang tamak hingga menyusahkan dan menjadikan rakyat sebagai mangsa.

Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni ketika membacakan khutbah itu juga mengingatkan semua pemimpin supaya berhenti bercakaran sebaliknya menumpukan usaha untuk memerangi pandemik Covid-19.

“Khatib juga ingin mengambil peluang pada hari yang mulia ini untuk mengingatkan saudara-saudari sekalian terutamanya para pemimpin, juga kepada seluruh rakyat sekalian agar menumpukan sepenuh usaha dan tindakan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19. Hentikanlah percakaran yang sia-sia.

“Bersimpatilah terhadap rakyat dan janganlah kerana ketamakan itu menyebabkan rakyat pula yang menjadi mangsa. Bagaimanakah Allah SWT mahu memperkenankan doa kita dan menurunkan rahmat-Nya selagimana kita masih lagi bergelumang dengan dosa, kemaksiatan dan perpecahan?,” katanya.

Beliau berkata dalam keadaan pandemik Covid-19 yang belum reda ini, umat Islam tidak boleh berputus asa sebaliknya perlu terus bersyukur sambil berdoa memohon supaya wabak ini dapat dihapuskan.

“Tetaplah bersyukur dan memuji Allah SWT kerana semua yang berlaku di atas muka bumi ini hanya Allah SWT jualah yang Maha Mengetahui,” katanya membaca teks khutbah disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ehsan berkata tahun ini umat Islam sekali lagi menyambut Aidiladha dalam suasana mencabar dan kawalan pergerakan yang masih lagi diteruskan berikutan bilangan kes harian yang masih lagi tinggi dan tidak menentu.

“Jagalah diri dan kesihatan. Selain itu, teruskanlah bertaubat dan bermunajat memohon kepada Allah SWT agar segera diangkat wabak dan musibah ini kerana hanya Allah SWT jualah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu dan hanya Dia-lah yang Maha Mengabulkan doa hamba-hamba-Nya,” katanya

Katanya walau apa juga keadaan dan perkara yang berlaku makna dan intipati Aidiladha tidak boleh hilang kerana ibadah korban yang dilaksanakan memiliki hikmah dan pengajaran yang banyak.

Sehubungan itu katanya, setiap cabaran dan ujian yang terbentang perlu dihadapi dengan akal dan tindakan yang rasional diiring dengan pengorbanan dan ketabahan yang tinggi.

“Berkorbanlah sebahagian harta yang kita miliki bagi membantu ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan sesiapa jua yang sedang dalam kesusahan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR