
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur – The Crackhouse, lokasi kejadian menghina Islam hujung minggu lalu – bakal berdepan tindakan lebih tegas jika benar pemiliknya mempermain dan mempersendakan bangsa Melayu.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata pihaknya turut menerima laporan berkaitan seorang individu yang didakwa sebagai pemilik premis itu yang mempermainkan serta memperlekehkan bangsa Melayu menerusi video tular persembahan di premis tersebut.
“Saya sudah meminta pihak penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan siasatan terperinci mengenai perkara itu.
“Sekiranya benar, ia menyalahi syarat lesen yang dikeluarkan, tidak mustahil pihak penguat kuasa pelesenan DBKL mengambil tindakan lebih tegas yang boleh membawa kepada penutupan kelab terbabit,” katanya kepada pemberita pada program korban bersempena Aidiladha bersama rakyat Parlimen Jelebu dan agensi kerajaan di Simpang Pertang, Jelebu, hari ini.
Menurut Bernama beliau juga berharap masyarakat, terutama umat Islam, supaya bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
Jalaluddin berkata mengikut rekod, premis tersebut telah beroperasi tanpa lesen sejak 2014 hingga 2017.
Lesen kepada kelab terbabit bagaimanapun diluluskan pada 2018 dan masih sah sehingga kini iaitu untuk operasi restoran dan minuman keras.
Menurutnya kelab itu tidak mempunyai lesen hiburan.
“Pemilik kelab memohon lesen hiburan tetapi tidak diluluskan kerana dalam lesen hiburan terdapat beberapa syarat tertentu dikenakan sebagai contoh laporan bomba, syarat aktiviti hiburan yang hendak diadakan, kita tidak boleh beri persetujuan menyeluruh kepada setiap hiburan.
“Pihak kementerian tidak berkompromi terhadap penyalahgunaan lesen. Premis ini tidak mempunyai lesen hiburan, maka DBKL mengambil tindakan menggantung sementara operasi premis dan restoran ini kerana menyalahgunakan lesen diberikan,” katanya.
Jalaluddin berkata pemilik premis diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan sebelum jawatankuasa pelesenan DBKL akan bersidang, meneliti serta menyiasat perkara itu dan penggantungan lesen itu boleh dilakukan hingga tempoh maksimum 30 hari sehingga keputusan dibuat.
Menurutnya DBKL tidak berkompromi dalam perkara melibatkan isu sensitif seperti agama, kaum dan bangsa di negara ini.
Hujung minggu lalu, video berdurasi 54 saat tular di media sosial menunjukkan seorang wanita mendakwa telah menghafaz 15 juz al-Quran dan kemudiannya membuang tudung dan baju kurungnya, meninggalkannya dalam pakaian yang mencolok mata dan dianggap menghina Islam.
Pada Ahad (10 Julai), DBKL mengumumkan penutupan sementara kelab komedi itu sementara menunggu siasatan ke atas lesen premis itu.
Sementara, wanita terbabit, Siti Nuramira Abdullah, ditangkap dan didakwa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pagi tadi mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghina Islam.
Teman lelaki wanita terbabit, Alexander Navin Vijayachandran, berusia 38 tahun pula didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan mengguna media sosial untuk mempromosi dan memuat naik kandungan bertujuan menghina orang ramai.