
Kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur dikaitkan dengan tindakan pasangan menghina agama Islam baru-baru ini. - Gambar FB
Pemilik Kelab Komedi Crackhouse, Mohammad Rizal Johan Van Geyzel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas tiga pertuduhan menyiarkan kenyataan menghina dan menyentuh sensitiviti agama serta kaum baru-baru ini.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nor Hasniah Ab Razak.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pelawak itu berdepan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Rizal dilaporkan ditahan polis berhubung tiga video yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
Tumpuan dilemparkan kepada Rizal selepas rancangan mikrofon terbuka kelab komedi itu yang didakwa menghina Melayu dan Islam.
Dalam klip yang tular di media sosial baru-baru ini, Siti Nuramira Abdullah, seorang wanita berusia pertengahan 20-an, didakwa menghina Islam ketika di atas pentas.
Dia didakwa minggu lalu kerana menghina Islam, manakala
Teman lelakinya, Alexander Navin Vijayachandran, yang didakwa memuat naik video persembahannya dalam talian, dituduh mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan “penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian”.
Polis kemudian turut menahan pengasas bersama kelab itu kerana menghasut susulan video persembahan lama dimuat naik dalam talian. Dia juga disiasat di bawah Seksyen 233 kta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung video yang sama.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini telah mengeluarkan arahan untuk menutup sementara tempat itu, selepas mengatakan kelab itu beroperasi di bawah permit yang tidak wajar.
Kelab komedi yang terletak di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur turut disimbah cat merah dan hitam, beberapa hari lalu.