
Datuk Seri Shahidan Kassim.
Masa yang diberikan kepada pemilik kediaman Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu yang enggan berpindah untuk berbincang dengan pemaju sudah mencukupi, kata Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata tempoh yang panjang sudah diberikan kepada 37 pemilik rumah teres untuk berbincang dengan pemaju bagi mencapai kata sepakat, malah beliau sendiri meminta kepada pemaju untuk melanjutkan rundingan walaupun sepatutnya tidak boleh jika mengikut lunas undang-undang.
“Proses pengambilan tanah sepatutnya dibuat pada Disember lalu, namun saya minta proses itu ditangguhkan sekejap.
“Dari segi peruntukan undang-undang, saya tak boleh berbuat demikian tapi ia dilakukan bagi memberi ruang perbincangan antara kedua belah pihak, ” katanya semasa siaran langsung di Facebook hari ini.
Menurut Shahidan, proses pengambilan tanah tersebut kini sudah masuk fasa akhir analisa dan akan diputuskan mengikut saluran undang-undang.
Shahidan berkata, permintaan penduduk berkenaan akan melibatkan semua pihak selain perlu mengambil kira 291 penduduk yang telah mengosongkan unit selepas bersetuju dengan projek tersebut.
“Ke mana mereka yang telah kosongkan rumah ini akan dipindahkan, mereka tak boleh pindah ke rumah lama kerana rumah lama telah rosak.
“(Kerajaan) kena juga bayar ganti rugi kepada pemaju dan jumlahnya melibatkan kos yang tinggi,” katanya lagi.
Justeru katanya, penyelesaian akan mengambil kira semua pihak dan akan diputuskan serta-merta serta tidak boleh ditangguhkan lagi.
Pada Selasa, Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru (PKPHKSB) memohon Shahidan untuk membantu menyelesaikan isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru itu yang telah berlarutan selama enam tahun bagi membolehkan projek dimulakan agar hasrat mereka berpindah ke rumah baharu terlaksana.
Ia sebagai maklum balas daripada sidang media yang dibuat oleh pemilik rumah teres bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad pada Ahad yang menggesa campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menghentikan pihak pemaju daripada mengambil tanah mereka.
Sementara itu, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, pengambilan tanah Kampung Sungai Baru itu sewajarnya diteruskan kerana memenuhi syarat perundangan di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 dan 89 peratus penduduk terlibat telah bersetuju dengan pembangunan semula kawasan tersebut.