
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut.
Seorang lelaki yang ditahan reman kerana disyaki melakukan aksi menyentuh sentimen sensitif dan perkauman ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki berusia 39 tahun itu dibebaskan kerana siasatan terhadapnya telah selesai.
Beliau berkata lelaki itu direman sehari bermula semalam bagi melengkapkan proses siasatan dan kertas siasatan polis akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut sebaik siasatan dari semua sudut selesai.
Menurut Bernama, lelaki itu difahamkan adalah pemilik kelab komedi terbabit.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang cenderung berunsur hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, dua rakaman video yang dipercayai memaparkan lelaki terbabit melakukan persembahan komedi di sebuah kelab komedi, tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen.
Rabu lalu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata pihaknya turut menerima laporan berkaitan seorang individu yang didakwa sebagai pemilik premis itu yang mempermainkan serta memperlekehkan bangsa Melayu menerusi video tular persembahan di premis tersebut.
13 Julai lalu, seorang wanita didakwa di mahkamah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan penganut agama Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail di sini, manakala teman lelakinya didakwa atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di laman sosial.
Video berdurasi 54 saat tular di media sosial menunjukkan seorang wanita mendakwa telah menghafaz 15 juz al-Quran dan kemudiannya membuang tudung dan baju kurungnya, meninggalkannya dalam pakaian yang mencolok mata dan dianggap menghina Islam.
Wanita terbabit, Siti Nuramira Abdullah, ditangkap dan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghina Islam.
Teman lelaki wanita terbabit, Alexander Navin Vijayachandran, berusia 38 tahun pula didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan mengguna media sosial untuk mempromosi dan memuat naik kandungan bertujuan menghina orang ramai.
Pada Ahad (10 Julai), DBKL mengumumkan penutupan sementara kelab komedi itu sementara menunggu siasatan ke atas lesen premis itu.