Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan takziah kepada bekas Presiden MIC dan bekas Menteri Kerja Raya mendiang Tun S. Samy Vellu yang meninggal dunia pagi ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyifatkan pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar kepada negara khususnya masyarakat kaum India atas jasa dan khidmat baktinya.
“Saya merasa dukacita mendengar berita ini kerana saya secara peribadi mengenali mendiang dan pernah sama-sama berada dalam Kabinet.
“Malah mendiang merupakan Presiden MIC yang paling lama memegang jawatan tersebut iaitu selama 31 tahun dan pernah berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri .
“Pemergian Tun Samy merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan masyarakat India khususnya,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Muhyiddin juga berkata kehilangan tersebut sukar dicari ganti kerana jasa dan pengorbanan mendiang kepada negara sepanjang khidmatnya dalam kerajaan sebelum ini.
“Tiada ada sesiapa boleh menafikan jasa mendiang yang tidak ada galang ganti terutama dalam membangunkan masyarakat India di luar bandar.
“Saya berharap ahli keluarga mendiang tabah dan bersabar menghadapi saat mendukacitakan ini,” katanya lagi.
Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya di sini, kira-kira 7 pagi tadi.
Perkara itu disahkan bekas Presiden MIC Tan Sri Dr S. Subramaniam.
Samy Vellu yang memimpin MIC dari 1981 hingga 2010 adalah antara pemimpin paling lama memegang jawatan dalam Kabinet, iaitu kira-kira tiga dekad bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979.