Pemenang bidaan ‘hilang’, harta Sajat akan dilelong sekali lagi

Harta mudah alih usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat, akan dilelong sekali lagi setelah pembida yang memenangi lelongan itu semalam menghilangkan diri.

Mohammad Syazwan Ahmad Fiesol, dikatakan pembantu peribadi seorang usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri gagal menjelaskan bayaran setelah memenangi bidaan itu menyebabkan proses lelongan dibatalkan.

Lelongan 40 unit barangan di rumahnya dibida Mohammad Syazwan dengan jumlah RM132,000 selepas lebih 10 kali proses bidaan, yang diadakan di kediaman Sajat di Jalan Polo 10/3, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Peguam, Nurul Hafidzah Hassan, dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors iaitu peguam kepada plaintif, OWA Resources Sdn Bhd, berkata perkara itu sudah disahkan sendiri oleh usahawan berkenaan.

“Namanya (pemenang bidaan) Mohammad Syazwan Ahmad Fiesol. (Asalnya) Saya tidak tahu dia siapa tapi dalam Facebook ada beritahu (maklumat pembida ada kaitan dengan usahawan kosmetik).

“Malah usahawan itu sendiri cakap yang lelaki itu adalah pembantu peribadinya,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Nurul Hafidzah berkata, tindakan pembida terbabit mempermainkan proses lelongan adalah sama seperti menghina dan mempermainkan arahan mahkamah.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan untuk menentukan tindakan lanjut yang boleh diambil terhadap pembida itu.

“Kami belum putuskan nak buat apa. Baru nak berbincang dan fikirkan apa tindakan lanjut,” katanya.

Antara barangan termahal yang dilelong adalah piano bernilai RM40,000 dan termurah adalah set pembakar roti selain beberapa barangan lain iaitu sofa, penghawa dingin, mesin basuh, peti sejuk, almari pakaian, set bilik tidur dan televisyen.

Bagaimanapun, lelaki itu dikatakan menghilangkan diri apabila tidak dapat dihubungi oleh pihak peguam selepas keluar dengan memberikan alasan untuk menguruskan bank draf.

Justeru, proses lelongan itu dikira terbatal berikutan kegagalan lelaki itu membuat bayaran selepas jam 4.10 petang.

Sehubungan itu, satu tarikh lelongan baru akan dikemukakan oleh firma guaman NHA Advocates & Solicitors di mahkamah bagi membolehkan bayaran Sajat kepada bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle miliknya, OWA Resourses Sdn Bhd, dapat diselesaikan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam bulan lalu membenarkan harta Sajat disita dan dilelong susulan gagal membayar pampasan kepada OWA Resources.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak plaintif menuntut pampasan RM183,000 yang gagal dibayar oleh Sajat melalui proses penyitaan itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR