
Pintu sempadan Singapura-Malaysia dibuka sejak 1 April 2022. - Gambar Straits Times
Mulai esok (Jumaat 1 April 2022), pengembara yang lengkap menerima vaksin Covid-19 akan dibenarkan melintasi sempadan darat antara Singapura dan Malaysia tanpa kuarantin atau ujian swab setelah Kuala Lumpur bersetuju membuka sepenuhnya sempadan kepada warga asing.
Pengembara dibenar menggunakan semua mod pengangkutan, termasuk kenderaan persendirian seperti kereta dan motosikal, melintasi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor), dan Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua) di Johor.
Susulan itu pihak berkuasa menjangkakan akan berlaku kesesakan di kedua-dua pusat pemeriksaan itu, apa lagi setelah kerajaan mengecualikan Caj Jalan (CJ) RM20 terhadap kenderaan persendirian Singapura yang memasuki Malaysia melalui ICQS itu selama seminggu.
Kerajaan juga bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari melibatkan semua jenis kenderaan Malaysia yang melalui kedua-dua ICQS itu.
Sehingga Selasa, 95 peratus warga Singapura yang layak telah melengkapkan vaksinasi masing-masing, manakala kira-kira 71 peratus lagi menerima suntikan dos penggalak.
Menteri Besar Johor Catuk Onn Hafiz Ghazi turut menjangkakan kesesakan lalu lintas di pusat pemeriksaan itu apabila sempadan antara Singapura dan Malaysia dibuka semula.
Semua kaunter akan dibuka dan 100 peratus beroperasi di kedua-dua kompleks imigresen, katanya sambil menjelaskan sebelum pandemik Covid-19, kira-kira 400,000 orang melintasi sempadan itu setiap hari, dengan sekitar 42,000 kenderaan digunakan.
“Walaupun kami telah melakukan persiapan untuk memastikan semuanya berjalan lancar, saya berharap rakyat Johor, Malaysia serta Singapura yang dalam perjalanan akan bersabar kerana kami menjangkakan kesesakan lalu lintas akan berlaku,” kata Onn Hafiz.
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, ketika mengalu-alukan kehadiran pengembara luar walaupun akan terdapat kesesakan lalu lintas, berharap semua pihak supaya bersabar.
“Saya menjangkakan keadaan trafik akan menjadi lebih teruk, terutamanya pada sebelah petang pada 1 April, kerana akan ada warga Singapura yang masuk dan rakyat Malaysia pula pulang,” kata Wee.
“Kebetulan ada dua sambutan pada hujung minggu ini – Awal Ramadan dan Qingming. Kedua-dua perayaan ini akan membawa kepada kebanjiran rakyat Malaysia untuk pulang.
“Ini akan memberi impak yang besar terutama pada petang 1 April dan 2 April. Akan ada lalu lintas puncak di jalan-jalan di Johor Bahru,” katanya.