Pembukaan sempadan bakal rancakkan ekonomi negara: Muhyiddin

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembukaan semula sempadan negara akan merancakkan semula ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya MPN telah beberapa kali membuat syor dan gesaan supaya kerajaan membuka semula sempadan sepenuhnya dengan segera sebagai salah satu langkah untuk memulihkan ekonomi.

“Pembukaan semula sempadan itu adalah jalan terbaik merancakkan semula ekonomi yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

“Seterusnya membuka peluang ekonomi baharu yang sudah tentunya dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya hari ini.

Terdahulu kerajaan mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula sepenuhnya mulai 1 April, serentak dengan Fasa Peralihan Endemik, membolehkan orang ramai kembali hidup normal.

Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka masih lagi diwajibkan di tempat awam.

Susulan peralihan kepada fasa endemik itu, had operasi bagi premis perniagaan dimansuhkan, sebaliknya dibenarkan beroperasi mengikut syarat lesen masing-masing.

Sebelum ini, MPN mencadangkan supaya kerajaan membuka semula sempadan pada 1 Mac lalu.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyeru bangsa Johor memilih PN yang banyak membela nasib dan prihatin rakyat.

Dalam pertemuan dengan ketua-ketua komuniti, pertubuhan bukan kerajaan dan veteran tentera dalam dua majlis santai di Dorsett’s Corner dan Restoran Anjung Suri, Taman Makmur, Kluang, beliau turut mendengar keluhan rakyat.

“Kebanyakan mengadu tentang kenaikan harga barang, penutupan sempadan Malaysia-Singapura dan kesukaran anak-anak muda mencari pekerjaan.

“Saya menjelaskan selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara saya telah beberapa kali membuat syor dan gesaan kepada kerajaan agar sempadan negara segera dibuka,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR