Pemberian dos vaksin cecah lebih 8 juta, kata Adham Baba

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sehingga semalam 8,083,685 dos vaksin telah diberikan kepada penduduk di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurutnya jumlah itu merangkumi 5,774,667 penerima dos pertama dan 2,309,018 lagi menerima dos kedua, sekali gus melengkapkan vaksinasi mereka.

“Sebanyak 258,773 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam, melibatkan pemberian 163,756 dos pertama dan 95,017 dos kedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lima negeri yang mencatatkan penerimaan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 303,050 orang, diikuti Sarawak (250,011), Johor (244,400), Perak (209,174) dan Kuala Lumpur (198,655).

Lebih 3.9 juta orang atau 83 peratus penduduk Selangor sudah mendaftar untuk suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata sehingga Isnin lalu, hanya 851,118 individu menerima dos pertama, manakala hanya 270,221 lengkap menerima dos kedua.

“Kita harus akui, angka yang rendah ini disebabkan bekalan vaksin yang terhad. Masalah ini bukan hanya berlaku di negeri Selangor dan Malaysia tetapi juga di rantau Asia Tenggara dan Afrika,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR