Pembelajaran sosial pengaruh personaliti ‘lelaki lembut’

August 9, 2021 · Isu semasa

‘Lelaki lembut’ sering dipandang serong oleh masyarakat. Malah ramai yang menganggap lelaki lembut ini bakal bergelar mak nyah. Namun, janganlah cepat melatah kerana lelaki lembut ini tidak minta dilahirkan begitu dan perubahan yang dialami juga kadang-kadang tak disedari.

Hari ini, semakin ketara karakter anak lelaki seperti perempuan. Antaranya suka berpakaian macam perempuan, meniru cara bercakap macam perempuan dan meminati personaliti perempuan. Lebih ketara, misalnya minat memakai gincu, mekap seperti perempuan dan berjalan dengan susunan langkah kaki macam perempuan.

Kesannya, anak berkenaan akan menjadi tidak normal. Kemuncaknya boleh jadi pondan. Dalam Islam, manusia mesti bersikap asli dan tidak melanggar fitrah kejadiannya. Sikap menjadikan diri berubah daripada lelaki kepada perempuan adalah salah dan berdosa. Ia petanda kecelaruan tingkah laku dan boleh menimbulkan tanggapan yang negatif dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurut Kaunselor Berdaftar Penyelaras Pusat Kaunseling Selangor, Rinatho Nunchi, lelaki lembut tidak menjadi masalah yang kritikal selagi mereka ini tidak melanggar fitrah jantina mereka iaitu menjadi seorang perempuan atau berpenampilan sebagai perempuan dan melakukan aktiviti-aktiviti yang melanggar syarak dan hukum.

“Masyarakat umum seringkali mengaitkan lelaki lembut dengan mak nyah. Harus difahami lelaki lembut bukanlah termasuk dalam golongan mak nyah  kerana ‘kelembutan’ mereka bukanlah bukti atau penentu mereka sebagai seorang mak nyah atau transeksual yang termasuk dalam kategori lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

“Kalau kita amati, terdapat ramai di luar sana lelaki lembut yang berkahwin dan berkeluarga seperti lelaki lain. Persepsi dan sikap masyarakat yang melakukan diskrimininasi terhadap lelaki lembut sebenarnya boleh menjadi faktor mereka memilih jalan menjadi seorang LGBT kerana mereka mungkin berasa dipinggirkan dan disisihkan oleh sebilangan masyarakat yang tidak faham tentang perbezaan lelaki lembut dan LGBT,” katanya.

Mengulas lanjut, Rinatho berkata, anak-anak yang sedang membesar (peringkat kanak-kanak) memiliki personaliti masing-masing. Faktor utama terbentuknya personaliti ini adalah melalui pembelajaran sosial (mengikut teori psikologi sosial) yang dipelajari dan diikuti melalui pemerhatian atau peniruan daripada individu yang mereka lihat.

Dalam hal ini, sekiranya kanak-kanak sering melihat dan didedahkan dengan satu-satu personaliti maka tidak mustahil menjadi ikutan mereka dan mungkin membesar dengan personaliti tersebut.

“Ibu bapa sememangnya perlu risau dan sedar terhadap perkembangan psikologi atau personaliti anak-anak mereka. Tetapi yang lebih perlu dirisaukan adalah persekitaran yang menunjukkan dan memaparkan secara terbuka dan berlebihan situasi ini yang mungkin menjadi ikutan mereka.

“ Lebih-lebih lagi dalam situasi tanpa sempadan dengan berkembangnya media sosial seperti Facebook, Instagram,  TikTok dan lain-lain. Medium inilah yang selalu menjadi akses mudah kanak-kanak kepada sesuatu yang lebih buruk jika tidak dikawal,” ujarnya.

Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa mengawal anak-anak mereka daripada terjebak kepada situasi LGBT ini. Memang benar berlaku diskriminasi terhadap golongan lelaki lembut yang menyebabkan mereka disisihkan dan dipinggirkan oleh rakan-rakan.

Harus diingat, diskriminasi seperti inilah yang menjadi faktor utama seseorang memilih jalan menjadi LGBT, pembuli atau lain-lain personaliti agresif atau pasif dan ia bukan semata-mata berlaku kepada lelaki lembut sahaja.

“ Lelaki  ‘tulen’ juga boleh menjadi seorang mak nyah, gay atau  biseksual  hanya disebabkan diskriminasi seperti ini. Maka, sebagai ibu bapa haruslah sentiasa memantau perkembangan psikologi anak-anak mereka. Ibu bapa juga harus sentiasa memberikan sokongan dan dorongan untuk menjadi seorang yang lebih yakin tanpa dipengaruhi oleh situasi sama ada mereka lembut atau sebaliknya,” jelasnya.

Bercerita tentang pengalamannya mengendalikan kes kaunseling berkaitan lelaki lembut, sepanjang lebih kurang 15 tahun menjadi kaunselor, dia telah mengendalikan beberapa kes lelaki lembut dan LGBT ini.

“Seperti yang saya katakan lelaki lembut tidak semestinya LGBT. Tetapi berdasarkan kes-kes yang saya kendalikan sememangnya terdapat sebahagian LGBT yang asalnya lelaki lembut. Mereka menjadi LGBT disebabkan hinaan dan persepsi negatif.

“Dalam proses hubungan membantu golongan ini, keperluan utama mereka adalah sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan terdekat dan masyarakat sekeliling. Mereka boleh menjadi seorang yang lelaki normal (bukan LGBT) jika mereka tidak didiskriminasi hanya kerana mereka berperwatakan lembut.

“Berdasarkan kes-kes yang saya kendalikan juga, kebanyakan mereka menjadi lelaki tulen semula jika mereka mendapat sokongan yang berterusan. Namun, ada juga kes yang kembali kepada LGBT yang juga berpunca daripada tiadanya sokongan daripada sekeliling,” jelasnya.

Meskipun kanak-kanak berusia sekitar dua tahun masih belum boleh mengenali serta memahami jantina diri sendiri, kajian ilmiah menunjukkan kanak-kanak seawal usia itu biasanya sudah boleh mengaitkan lelaki sebagai ‘kasar’ manakala perempuan sebagai lemah-lembut.

“Dalam lingkungan usia tiga tahun pula, si kecil biasanya sudah boleh membezakan jantina lelaki dan perempuan serta sudah boleh ‘meletakkan’ dirinya sama ada dia adalah lelaki atau perempuan.

“Dalam usia antara tiga hingga enam tahun, kanak-kanak biasanya akan menunjukkan sifat ‘perempuan’ atau kelelakian melebihi golongan dewasa,” katanya.

Menurutnya, ia bermaksud, setiap kanak-kanak sememangnya akan melalui fasa pengenalan diri mengikut jantina.

“Atas sebab itu juga, ada kanak-kanak yang marah apabila mendapati rakan yang sama jantina dengannya melakukan atau menyukai sesuatu yang bertentangan dengan jantina diri contohnya jika kanak-kanak perempuan bermain dengan pistol permainan atau ada kanak-kanak lelaki menyukai anak patung.

“Situasi itu akan membuatkan kanak-kanak terbabit memilih untuk tidak berkawan dengan rakannya itu kerana merasakan terdapat sesuatu yang salah atau ‘tidak kena,” ujarnya.

Sementara itu, Rinatho menasihatkan masyarakat lebih peka dan mengambil berat terhadap golongan ini khususnya lelaki lembut kerana kebanyakan kes,  faktor utama mereka memilih menjadi LGBT adalah sikap dan diskriminasi sekeliling dan masyarakat.

“Keperluan utama mereka pula adalah sokongan psikologi, spiritual dan moral. Jika kita sudah mengetahui faktor, kaedah dan keperluan.

“Maka,  masyarakat perlu menghentikan sikap diskriminasi ini dan harus memberikan dorongan dan sokongan bagi mengelakkan lelaki lembut ini memilih jalan menjadi LGBT. Begitu juga mungkin bagi LGBT, sokongan dan dorongan yang berterusan mungkin boleh membawa mereka kepada perubahan,” katanya.

Berita berkaitan
Kedah tawar pinjaman pendidikan buat pelajar yang layak ke IPTA, IPTS
June 8, 2023· Isu semasa
Timbalan Menteri DAP gagal jawab soalan di Dewan Rakyat, elok letak jawatan
March 27, 2023· Isu semasa
Kadar baharu RMT bermula 6 Nov, Radzi tekad bela nasib murid memerlukan
November 3, 2022· Isu semasa
KPM terima semua pandangan, pendidikan tak boleh dipolitikkan: Radzi
October 18, 2022· Isu semasa
Popular
Kerajaan buat pusingan U, umum subsidi ayam dan telur akan diteruskan
June 9, 2023
Tajaan JPA bagi bidang perubatan pergigian dan farmasi dihentikan
June 10, 2023
SPRM sahkan beku akaun bekas menteri kanan dalam siasatan dana RM2.3 bilion
June 9, 2023
Sanusi mohon perintah mahkamah tentukan skop pengampunan Anwar
June 9, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Lanjutkan pengecualian duti setem hartanah, kata persatuan kepada kerajaan
4 jam lalu · Isu semasa
Tajaan JPA bagi bidang perubatan pergigian dan farmasi dihentikan
5 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan buat pusingan U, umum subsidi ayam dan telur akan diteruskan
June 9, 2023 · Isu semasa
Khidmat Nor Shamsiah tak disambung, Shaik Abdul Rasheed jadi Gabenor baharu 1 Julai
June 9, 2023 · Isu semasa
Bank Negara jangka ringgit tak cecah paras RM5 berbanding dolar
June 9, 2023 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Zahid sebak laungan bebas Bossku bergema depan Anwar
June 9, 2023
[VIDEO] Pemuda menangis teruk Najib dapat anugerah
June 8, 2023

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok