
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 daripadanya kerana pecah amanah berhubung lebih RM31 juta dana Yayasan Akalbudi (YAB), 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan lapan pertuduhan rasuah lebih RM21.25 juta.
Peguam Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Ahmad Zaidi Zainal memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa pasukan pembelaan telah menyelesaikan pemeriksaan semula terhadap Presiden UMNO itu dan tiada soalan lanjut untuk ditanya kepadanya.
Serentak itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membebaskan Zahid sebagai saksi pembelaan dari kandang saksi.
Seorang lagi peguam Zahid, Hamidi Mohd Noh kemudian memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa pasukan pembelaan merancang memanggil 40 saksi pembelaan tambahan (tidak termasuk Zahid sendiri), turun daripada angka sebelumnya iaitu 43 saksi.
Walaupun Ketua Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran mencadangkan mungkin terdapat keperluan untuk menjadualkan tarikh pendengaran tambahan memandangkan 40 saksi masih merupakan jumlah yang ketara, pasukan peguam Zahid melahirkan keyakinan bahawa tarikh semasa yang dijadualkan adalah mencukupi kerana saksi baharu tidak akan mengambil masa yang lama untuk memberi keterangan.
Peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata: “Kami yakin kami akan dapat melengkapkan saksi-saksi ini dalam tarikh sedia ada, kerana saksi-saksi itu adalah saksi ringkas.”
Hakim berkata tarikh perbicaraan semasa boleh dikekalkan buat masa ini, dan tarikh perbicaraan tambahan boleh ditambah kemudian jika perlu.
Perbicaraan akan disambung semula pada 19 September.
Tarikh lain yang telah dijadualkan sebelum ini ialah 20 September hingga 22 September, 26 September hingga 29 September, 31 Oktober dan 7 November hingga 10 November.
Terdahulu sebelum mengakhiri sesi bela dirinya, bekas Menteri Dalam Negeri itu menafikan dia seorang yang ‘gembira’ untuk menerima rasuah.
Zahid diminta menjelaskan mengenai ahli perniagaan Junaith Asharab Md Shariff, yang telah memberikan RM13.25 juta melalui 24 keping cek kepadanya melalui akaun pelanggan firma guaman Lewis & Co.
Sepanjang perbicaraan itu, Zahid menegaskan bahawa Lewis & Co memegang wang dalam akaun pelanggan atas amanah untuk Yayasan Akalbudi (YAB), sebuah yayasan amal di mana beliau adalah pemegang amanah dan penandatangan tunggalnya untuk cek.
Hari ini, Hamidi menyatakan bahawa pihak pendakwaan pada 23 Ogos mencadangkan bahawa adalah wajar bagi Zahid untuk berasa “syukur dan gembira” dengan sumbangan besar daripada Junaith kepada YAB.
Zahid menjawab dengan menjelaskan bahawa dia tahu apa yang dimaksudkan oleh pihak pendakwaan dengan cadangan sedemikian berhubung emosinya, walaupun pihak pendakwaan tidak langsung menuduhnya berasa gembira kerana menerima rasuah.
“Yang Arif, ‘gembira’ ini seolah-olah saya cetus gembira menerima wang rasuah. Walaupun tidak disebut secara langsung, saya faham maksud yang tersirat.
“Jadi, saya tidak berasa gembira dan tidak berasa bersyukur, kerana orang yang sepatutnya berasa bersyukur adalah penderma kerana kurniaan ilahi akan diperoleh oleh penderma itu,” katanya.
Zahid juga bersetuju bahawa dia sebelum ini memberi keterangan di mahkamah bahawa walaupun sumbangan itu akan membantu YAB, amal itu bukan untuknya secara peribadi dan ia adalah untuk tujuan agama dan ia akan menjadi urusan antara penderma dan Allah.
Pada ketika ini, hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menyatakan bahawa ini hanyalah ulangan apa yang telah diperkatakan oleh Zahid di mahkamah sebelum ini.