Pembelaan Najib jaring gol ke gawang sendiri

April 20, 2021 · Isu semasa

Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak telah ‘menjaringkan gol ke gawang sendiri’ apabila mengemukakan keterangan yang terbukti bercanggah dengan dakwaan bahawa beliau tidak mengetahui status akaun bank peribadinya berhubung isu membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, lapor Bernama.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram berhujah bahawa kebanyakan interaksi menerusi sembang BlackBerry Messenger (BBM) antara saksi pendakwaan ke-54 iaitu Joanna Yu Ging Ping yang merupakan Pegurus Perhubungan AmBank dengan ahli perniagaan yang kini dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah membuktikan bahawa Najib mempunyai pengetahuan mengenai status dan transaksi membabitkan akaun peribadinya.

“Pembelaan mendakwa bahawa pendakwaan telah bertindak menukar lokasi gawang kami namun hakikatnya ialah mereka telah menjaringkan gol ke gawang sendiri.

“Sembang BBM telah mewujud serta menimbulkan inferens yang kukuh bahawa Najib mempunyai pengetahuan mengenai status, transaksi keluar masuk yang tidak terkira serta jumlah sebenar baki akaunnya yang membolehkan beliau memanfaatkan dana itu termasuk wang SRC yang masuk ke dalam akaun banknya,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil pada pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International.

Turut bersidang Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Sithambaram berkata, transkrip sembang itu membuktikan bahawa Najib mempunyai pengetahuan berhubung kemasukan dana itu ke dalam akaunnya menerusi mesej teks BBM yang diterima Jho Low daripada Najib dan kemudian dipanjangkan kepada Joanna, begitu juga dengan mesej yang dihantar Jho Low kepada Najib berhubung baki akaun selepas ahli perniagaan itu menyoal Joanna mengenai jumlah sebenarnya.

Beliau berkata sepanjang perbicaraan kes itu, pasukan pembelaan Najib berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak mengetahui sumber dana tersebut dan tindakan memanfaatkannya tidak membuktikan unsur penyelewengan di bawah pecah amanah jenayah (CBT).

Peguam itu juga merujuk transkrip soal balas Najib dan sembang BBM yang menurut beliau telah mengesahkan bahawa bekas perdana menteri tersebut sememangnya berkomunikasi dengan Jho Low secara langsung menerusi aplikasi mesej berhubung status akaunnya.

“Perayu juga mengaku sembang BBM itu adalah mesej yang dihantar beliau kepada Jho Low. Perayu mengaku bahawa beliau boleh mengagak berapa banyak yang boleh dibelanjakannya hanya dengan berkomunikasi beberapa kali dengan Jho Low.

“Perayu juga menyatakan bahawa beliau telah berkomunikasi dengan setiausaha sulitnya Datuk Azlin Alias yang memaklumkan beliau berapa banyak yang boleh dibelanjakannya.

“Ringkasnya, terdapat pengakuan oleh perayu bahawa beliau mengetahui baki dalam akaun banknya daripada Jho Low dan Azlin,” katanya sambil menambah oleh yang demikian, hujah pembelaan bahawa Najib tidak mengetahui baki dalam akaun banknya tidak dapat dipertahan.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan CBT, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Pendengaran rayuan itu bersambung esok.

Berita berkaitan
PH tak desak PRU-15 disegerakan walaupun tamat MoU 31 Julai
July 2, 2022· Politik
Permohonan Irwan, Arul Kanda batal saman 1MDB didengar 19 Okt
July 1, 2022· Isu semasa
Permohonan Rosmah cuba singkir lagi Sri Ram didengar 6 Julai
June 30, 2022· Isu semasa
Kes Guan Eng, saksi tak tahu berapa kali rasuah dibayar
June 28, 2022· Isu semasa
Popular
Ku Li jangka nilai ringgit jatuh lagi, gesa kerajaan campur tangan
July 2, 2022
MPN dibentuk PM, Muhyiddin jawab kritikan Zahid yang berdepan kes mahkamah
July 2, 2022
Ada cadangan roboh Stadium Shah Alam, kata MB Selangor
July 3, 2022
Kurang sikit makan telur, kata Pengarah KPDNHEP Melaka
July 2, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Pemuda UMNO kritik penubuhan Pasukan Khas Jihad diumum Ismail Sabri
48 minit lalu · Isu semasa
Kompleks hiburan sukan konsep digital RM6 juta bakal dibina di Ketereh
1 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan ambil tindakan ketirisan minyak masak ke negara jiran
1 jam lalu · Isu semasa
Isu harga barang, PM bidas pembangkang fitnah kata kerajaan tak peduli
1 jam lalu · Isu semasa
Ada cadangan roboh Stadium Shah Alam, kata MB Selangor
8 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tak serius, kerajaan ambil lewa isu harga barang, kata pemimpin Amanah
July 1, 2022
[FOTO] Himpunan bantahan kenaikan harga
July 1, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok