Pembatalan Ordinan Darurat ikut peruntukan undang-undang, Perlembagaan Negara: PMO

July 29, 2021 · Isu semasa

Kerajaan berpendapat semua tindakan yang diambil berkaitan isu proklamasi darurat dan ordinan-ordinan yang akan dimansuhkan, dilakukan secara teratur selaras peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai keputusan Jemaah Menteri untuk tidak menasihati baginda membuat Proklamasi Darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini keputusan itu juga sudah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada pertemuan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 12 tengah hari 27 Julai 2021 lalu.

“Pada sesi menghadap ini, Perdana Menteri telah sekali lagi memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan ordinan-ordinan darurat tersebut serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.

“Perdana Menteri juga telah menyembah maklum pandangan Kerajaan bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan keputusan untuk tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong berkaitan darurat itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet pada 21 Julai 2021. Mesyuarat itu juga diadakan sebagai persediaan menghadapi sesi Sidang Khas Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021.

PMO menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara pada 22 Julai 2021 sebelum menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong pada 23 Julai 2021 bagi menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan darurat berkenaan dibatal dan memohon limpah perkenan baginda mengenainya.

“Pejabat ini mengambil maklum sebagaimana yang dizahirkan di dalam kenyataan media Istana Negara hari ini, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PMO berkata Yang di-Pertuan Agong pada 24 Julai 2021, telah menitahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.

“Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai 2021, semua Ordinan Darurat telah dibentang (laid) di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Susulan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang telah memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.

“Ini adalah suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus,” kata kenyataan itu.

Perdana Menteri sekali lagi menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Negara.

Justeru, beliau menasihatkan rakyat supaya sentiasa bertenang dan insya-Allah isu ini akan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

Ikuti kenyataan penuh Pejabat Perdana Menteri berhubung isu di atas dalam ruang Rencana Agenda Daily.

Berita berkaitan
Isu RM750 juta, PAS minta PMX beri penjelasan jangan melulu buat tuduhan
January 10, 2024· Politik
Dakwaan gangguan seksual dihadapi Wahab, polis akan panggil beberapa individu
December 2, 2023· Isu semasa
Sultan Ibrahim berangkat bertemu Sultan Selangor dan Sultan Perak
October 28, 2023· Isu semasa
Al-Sultan Abdullah menamatkan tempoh pemerintahan 30 Jan, zahir penghargaan
October 26, 2023· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Iklan ‘duit raya’ GDBET333 dinyahaktif
April 16, 2021
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok