Pembangkang sokong Ahmad Maslan jadi Timbalan Speaker, macam sokong Azalina

Blok pembangkang dijangka akan memberi sokongan kepada calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ahmad Maslan memandangkan pernah memberi sokongan sama kepada Ahli Parlimen (MP) Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said semasa memegang jawatan sama tersebut sebelum ini.

Ahmad yang juga MP Pontian difahamkan bakal dicalon UMNO untuk memegang jawatan Timbalan Speaker apabila sidang dewan dibuka pada 13 September ini.

Perkara itu disahkan oleh pemimpin veteran UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz yang memberitahu Agenda Daily bahawa nama Setiausaha Agung UMNO akan dibawa ke Parlimen untuk dipilih sebagai pengganti Azalina.

Pencalonan tersebut akan mendapat sokongan MP pembangkang, ia memandangkan nama Azalina sebelum ini juga dipersetujui oleh blok pembangkang yang mahu beliau diangkat sebagai Speaker untuk menggantikan Datuk Azhar Harun.

Persefahaman antara pembangkang dengan kerajaan untuk menerima Ahmad berkemungkinan juga hasil perjanjian yang ditandatangani oleh pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng semasa pertemuan dengan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini di pejabatnya.

Malah, semalam Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga mengesahkan Timbalan Pengerusi Nasional parti itu, Gobind Singh Deo sudah bertemu dengan Azalina, dalam usaha mengangkatnya sebagai Speaker Dewan Rakyat, menggantikan Azhar.

Terdahulu, PKR juga menyatakan sokongan kepada Azalina menerusi kenyataan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang berkata pembangkang berharap kerajaan dapat menimbang untuk melantik Azalina untuk menggantikan Azhar selepas tercicir dalam senarai barisan Kabinet yang diumumkan baru-baru ini.

Azalina sebelum ini meletak jawatan pada 23 Ogos 2021 sebagai Timbalan Speaker.

Jika Azalina dilantik menjadi Speaker yang mendapat sokongan blok pembangkang, ia tidak mustahil Ahmad juga akan dilantik menjadi Timbalan Speaker, sekaligus mengesahkan kedudukan UMNO sebagai dominan di Dewan Rakyat nanti.

Sidang Dewan Rakyat akan bermula 13 September sehingga 12 Oktober.

Sidang kali ini merupakan yang kali pertama sejak Ismail Sabri mengangkat sumpah pada 21 Ogos lalu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin yang meletak jawatan.

Sementara itu, undi percaya juga tidak akan dibentangkan pada sidang ini bagi mengabsahkan kedudukan Ismail Sabri sebagai PM kesembilan.

BERITA BERKAIT
POPULAR