Pemangku Raja Pahang perintah Hutan Simpan Chini diperluas

June 14, 2021 · Isu semasa

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan supaya kawasan Hutan Simpan Chini, Pekan seluas 4,600 hektar ditambah kepada 6,000 hingga 7,000 hektar.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata titah itu bertujuan menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan Tasik Chini serta kawasan persekitarannya.

Katanya, Tengku Hassanal mencemar duli mengadakan lawatan mengejut di Tasik Chini semalam, susulan laporan dan gambar tular menerusi media sosial sejak kebelakangan ini yang mendakwa berlaku aktiviti perlombongan di situ.

“Baginda juga telah meneliti laporan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung aktiviti perlombongan, tindakan pemulihan dan pemeliharaan yang telah dijalankan kerajaan negeri.

“Baginda bersetuju dengan langkah kerajaan negeri tidak lagi mengeluarkan sebarang kelulusan (perlombongan) baharu sejak 2019 selain turut menyarankan agar aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan, hari ini.

Untuk rekod, Pejabat Tanah dan Galian Pahang sebelum ini memaklumkan bahawa tiada kelulusan diberikan selepas pewartaan Taman Negeri Tasik Chini sebagai Hutan Simpan Chini pada Mac 2019.

Sebelum itu, 14 lesen telah dikeluarkan dan daripada jumlah itu, hanya dua yang masih beroperasi dengan satu daripadanya tamat pada hujung bulan ini manakala lesen sebuah lagi pemegang pajakan dan operator akan berakhir hujung tahun ini.

Ahmad Khirrizal berkata Tengku Hassanal juga menitahkan kawasan bekas lombong dipulihkan dengan penanaman pokok hutan bersesuaian selain aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan oleh kerajaan negeri serta Persekutuan yang sedang berjalan, dipergiatkan lagi.

Tengku Hassanal turut menitahkan aktiviti penguatkuasaan diperkasakan dan dilakukan secara bersepadu serta berkala melibatkan agensi penguatkuasaan negeri dan Persekutuan.

Selain itu, baginda juga menzahirkan harapan supaya Tasik Chini yang diberi status tapak rizab biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dapat diberikan keutamaan dalam peruntukan kewangan dan pembangunan lestari oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Tengku Hassanal bertitah bahawa Tasik Chini adalah permata alam sekitar di Pahang dan pengiktirafan bertaraf dunia sebagai tapak rizab biosfera UNESCO pertama di Malaysia hendaklah dipertahankan.

“Baginda mengambil berat dan akan sentiasa memantau usaha kerajaan negeri bagi memastikan alam sekitar Pahang sentiasa terjaga. Baginda juga menyeru semua pihak sentiasa mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan urus tadbir yang baik supaya khazanah alam kekal untuk generasi akan datang,” katanya.

Berita berkaitan
Kemalangan keretapi ERT langgar 14 ekor lembu, semua mangsa terselamat
November 3, 2023· Isu semasa
Dakwa ada negeri minta wang bayar gaji, Sanusi minta Anwar henti berbohong
October 7, 2023· Politik
Siapa nak percaya cakap Zahid lagi? soal PAS Pahang
October 6, 2023· Politik
Mokhzani kekal Presiden MAM, mahu tangani lumba haram
October 5, 2023· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Bekas Setpol Salahuddin Ayub dilantik Pengerusi SSM baharu
March 13, 2023
Aktivis disiasat polis selepas pertikai PMX Islamkan pemuda India
August 22, 2023
Hina Islam: Penghantar makanan masuk penjara, gagal bayar denda RM50,000
July 21, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok