
Keadaan kereta yang dinaiki lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah yang terbabit dalam nahas di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara dekat Kuala Kangsar, tengah malam tadi, 12 Mei 2022. - Gambar FB
Pemandu treler muatan besi terbabit nahas di KM24.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, dijangka dituduh di mahkamah Selasa ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata ia bagaimanapun tertakluk kepada keputusan Timbalan Pendakwa Raya berikutan kertas siasatan kes akan diserahkan kepadanya pada Selasa.
Menurutnya pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan yang membabitkan pemandu treler berusia 28 tahun itu.
“Kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada pagi Selasa dan jika tiada apa-apa masalah, kita akan buat pertuduhan di mahkamah pada sebelah petang,” katanya memetik laporan Bernama.
Terdahulu, Omar Bakhtiar dilaporkan berkata, pemandu treler berusia 28 tahun itu direman empat hari bermula Khamis hingga esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Siasatan polis sebelum ini mendapati pemandu berasal dari Kubang Pasu, Jitra, Kedah itu mempunyai 22 saman dengan 21 daripada jumlah saman itu sudah dibayar termasuk lapan saman kesalahan kerana memandu laju.
Suspek dilapor turut mempunyai sembilan rekod kesalahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sekali gus dijangka memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu miliknya.
Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas lelaki itu bagaimanapun mendapati dia negatif dadah.
Dalam perkembangan berkaitan, Omar Bakhtiar berkata, kelima-lima jenazah sudah diserahkan kepada waris masing-masing dengan jenazah terakhir diserahkan jam 8 malam tadi selepas selesai proses pengecaman identiti di Unit Forensik Hospital Taiping.
Dalam kejadian jam 12.52 tengah malam Khamis lalu, lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City maut selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler muatan besi dari arah belakang ketika melalui kawasan penyelenggaraan jalan dikendalikan PLUS Berhad.
Kelima-lima mangsa itu dikenal pasti sebagai Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang memandu kereta; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, yang kesemua mereka adalah penuntut di USAS.