Pemandu treler kena uji Covid pra-pelepasan sebelum masuk Singapura

Pemandu treler kargo dan kelindan yang ingin menyeberangi Singapura perlu melakukan ujian PCR atau ART pra-pelepasan di pusat kemudahan bertauliah di Malaysia, dua hari sebelum berlepas.

Portal berita dalam talian The Straits Times pada Ahad melaporkan peraturan baharu itu berkuat kuasa Khamis (24 Mac) berikutan Singapura menghentikan ujian semasa ketibaan (OAT) Covid-19 di pusat pemeriksaan darat, lapor Bernama.

Pemandu dan kelindan perlu mengemukakan keputusan ujian negatif Covid-19 atau membuktikan mereka telah pulih daripada Covid-19 di pusat pemeriksaan di Tuas dan Woodlands, sebelum dibenarkan masuk ke Singapura.

Sejak 14 Mac, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) telah mengedarkan risalah kepada pemandu kargo bagi memaklumkan prosedur baharu itu.

Di bawah prosedur baharu itu, seorang pemandu yang ingin ke Singapura pada 3 April boleh melakukan ujian pada bila-bila masa seawal 1 April.
Keputusan ujian itu boleh digunakan untuk kemasukan tanpa had ke Singapura yang tempoh sahnya selama dua hari.

Sijil ujian yang dikemukakan mestilah dalam bahasa Inggeris, sama ada dicetak atau ‘soft copy’ dan bukan tulisan tangan.

Selain itu, sijil berkenaan perlu mempunyai nama individu berkenaan, tarikh lahir dan nombor pasport, termasuk tarikh dan masa ujian, serta nama pembekal ujian.

Semua pemandu kargo dari Malaysia yang masuk di bawah aturan ini mesti lengkap vaksinasi.

BERITA BERKAIT
POPULAR