Pemandu lori disyaki mabuk rempuh lima kereta, seorang maut

Seorang pemandu lori ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dan terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan lain di Pasir Gudang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, lori jenis Scania yang dipandu lelaki berusia 37 tahun itu dari arah Pasir Gudang menghala ke Johor Bahru terbabas, lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh lima kenderaan lain.

Beliau berkata susulan nahas itu, seorang lelaki berusia 21 tahun yang memandu Perodua Alza meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini manakala seorang lagi lelaki berusia 46 tahun memandu Proton Waja masih dirawat di Zon Kuning HSI, lapor Bernama.

“Bagaimanapun, pemandu lori hanya mengalami luka kecil, manakala tiga lagi pemandu, dua memandu Perodua Axia dan seorang memandu Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Sohaimi berkata pemandu lori terbabit ditahan semalam di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membantu siasatan.

Beliau berkata pihak polis memandang serius kejadian melibatkan pemandu mabuk dan tidak akan berkompromi dengan individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Kejadian kemalangan berkenaan turut tular di media sosial.

BERITA BERKAIT
POPULAR