Pemandu lawan arus langgar dua penunggang motosikal di SKVE

Polis menahan seorang lelaki India tempatan yang memandu melawan arah dan disyaki melanggar dua penunggang motosikal di Kilometer 30.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala ke arah Bandar Saujana Putra, petang semalam.

Ketua Polis Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas dia mendapatkan rawatan ekoran kecederaan di bahagian kepala di Hospital Banting sekitar jam 4 petang semalam.

Ahmad Ridhwan berkata dalam kejadian pada kira-kira 2 petang semalam, pemandu Perodua Bezza itu terlebih dahulu melanggar seorang penunggang motosikal yang berhenti di lorong kecemasan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Tanjung 12 SKVE.

“Selepas itu, pemandu kereta itu terus bergerak secara melawan arus di lorong kecemasan dan melanggar seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha LC 135,” katanya dalam kenyataan hari ini memetik laporan Bernama.

Ahmad Ridhwan berkata susulan pelanggaran tersebut kedua-dua mangsa cedera di kaki dan tangan dan dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.

Saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222 dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular klip video aksi lawan arus sebuah kereta Perodua Bezza menerusi video berdurasi 2.30 minit di laman sosial Facebook.

BERITA BERKAIT
POPULAR