Pemandu ‘lalok’ sebabkan 4 beranak maut dituduh membunuh

Seorang lelaki yang positif dadah dan terlibat dalam rempuhan ke atas sebuah Vellfire mengorbankan empat beranak di Kilometer (KM) 2 Jalan Lebu ke Mempaga berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road, berdepan tuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Bentong, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek berusia 44 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan kes terbabit diambil alih oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bentong dan suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Bentong jam 9 pagi ini.

“Atas arahan Timbalan Pendakwa Raya, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh empat individu (dalam kemalangan itu),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan suspek direman untuk siasatan lanjut selepas selesai menjalani rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh.

Zaiham sebelum ini dipetik berkata, hasil pemeriksaan dilakukan di dalam kenderaan dinaiki suspek yang mempunyai tujuh rekod berkaitan dadah menemui satu tiub straw lutsinar mengandungi syabu.

Dalam kemalangan jam 2.30 petang pada 28 Januari lalu, guru bahasa Inggeris, Raihan Mohamad, 43, maut bersama tiga anaknya Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, 7; dan Ahda Imtinan, 4.

Mangsa dalam perjalanan untuk menghadiri majlis perkahwinan di Kajang, Selangor sebelum kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dinaiki mereka dari Gua Musang itu dirempuh pacuan empat roda Nissan Navara dipandu suspek.

BERITA BERKAIT
POPULAR