Pemakanan tidak sihat burukkan masalah diabetes

February 27, 2023 · Isu semasa

Peredaran masa membawa bersama perubahan pada kebanyakan aspek kehidupan termasuk pemakanan dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat melihat “kegilaan”, khususnya golongan muda, terhadap makanan dan minuman ‘hipster’ yang unik.

Antara yang popular ialah pisang goreng bersalut keju, teh ais boba dan ‘Milo ais kepal’ yang mengandungi gula yang amat tinggi dan disifatkan oleh pakar kesihatan awam sebagai “keterlaluan”.

Jika dilihat pada corak pemakanan sedemikian, tidak hairanlah apabila berlaku peningkatan kes diabetes dalam kalangan orang muda berusia bawah 40 tahun di Malaysia sejak 11 tahun yang lalu dan ini bukanlah satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun ke atas menunjukkan trend peningkatan, bermula dengan 11.2 peratus pada 2011, meningkat kepada 13.4 peratus (2015) dan yang terkini, 18.3 peratus atau 3.9 juta orang daripada populasi negara (2019).

Statistik ini dijangka akan terus meningkat apabila tinjauan NHMS dilaksanakan pada 2023 nanti.

Menurut Pakar Perubatan Dalam dan Nefrologi Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Dr. Tye Yi Loon, kencing manis ialah satu penyakit iaitu kandungan gula di dalam badan sentiasa berada dalam paras yang tinggi.

“Gula dalam darah tidak dapat diserap sepenuhnya ke dalam sel yang mengakibatkan bacaan gula meningkat. Ini disebabkan oleh kekurangan pengeluaran insulin oleh pankreas yang menjadikan gula tidak dapat dikawal dengan baik. Insulin merupakan salah satu hormon di dalam badan yang bertugas untuk mengawal dan mempengaruhi metabolism gula di dalam sel,” katanya.

Tambah Dr. Yi Loon, antara faktor utama peningkatan penyakit kencing manis dalam kalangan orang dewasa adalah obesiti. Sebanyak 50.1 peratus golongan dewasa di Malaysia mengalami masalah kegemukan berbanding 48.6 peratus pada tahun 2015. Selain itu, faktor yang menyumbang kepada risiko menghidapi penyakit kencing manis adalah peningkatan usia, gaya hidup yang tidak aktif dan pemakanan yang tidak sihat.

Pada peringkat permulaaan, pesakit kencing manis biasanya tidak mengalami gejala yang spesifik. Namun, terdapat tanda-tanda yang mungkin menunjukkan seseorang itu menghidapi kencing manis antaranya adalah sentiasa dahaga, kerap kencing, penyusutan berat badan, proses penyembuhan luka yang lambat atau mudah mendapat jangkitan kuman.

Sementara itu, neliau berpandangan trend membimbangkan tentang peningkatan kelaziman diabetes dalam kalangan generasi Y (lahir pertengahan 1980-an hingga 2000) berpunca daripada “keracunan makanan disebabkan pilihan sendiri” dan kurang pergerakan fizikal.

“Ini perlu diperbaiki melalui gaya hidup aktif dengan melakukan pergerakan fizikal setiap 30 hingga 60 minit setiap hari serta berjalan kaki 50 kali dari satu dinding ke satu dinding lain di rumah.

“Pergerakan fizikal juga adalah perkara paling penting berbanding senaman intensif, kerana senaman amat sukar dilakukan jika seseorang itu sudah tua atau mengalami osteoartritis (sakit sendi yang ketara). Namun jika ingin bersenam, anda digalakkan untuk melakukannya minimum 150 minit setiap minggu, selain melakukan aktiviti berjalan pantas selama 30 minit, lima hari seminggu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Yi Loong memberitahu, walaupun kencing manis ini tidak dapat disembuhkan, tetapi ia masih boleh dikawal. Dalam jangka masa panjang, sekiranya penyakit ini tidak dikawal dengan baik, paras gula yang tinggi dapat merosakkan organ dan pesakit akan terdedah kepada komplikasi seperti penyakit jantung, penyakit buah pinggang, angin ahmar, penyakit saraf dan lain-lain.

“Sewaktu pesakit mendapat komplikasi tersebut, kerosakan organ yang telah berlaku tidak dapat dipulihkan. Justeru, adalah penting untuk kita mendapatkan pengesanan awal penyakit kencing manis,” ujarnya.

Hal ini kerana, supaya rawatan dapat diberikan pada peringkat awal. Bagi mengetahui seseorang itu mempunyai masalah kencing manis adalah dengan menjalani pemeriksaan darah. Antara pengesanan yang boleh dilakukan adalah melalui ujian saringan seperti ujian darah glukosa berpuasa (fasting blood sugar), ujian darah tolerasi glukosa (OGTT) atau ujian darah untuk HbA1c.

“Perubahan cara hidup yang sihat mampu mengelakkan risiko menghidapi penyakit kencing manis. Ini termasuklah dengan mengamalkan pemakan yang sihat dan seimbang. Antaranya mengurangkan pengambilan makanan yang manis.

“Tetapi kita juga perlu tahu bahawa makanan berkarbohidrat tinggi seperti nasi, biskut, kek, kuih-muih dan mi turut menyumbang kepada meningkatkan kandungan gula dalam badan. Orang ramai perlu tahu untuk kita mengetahui kandungan nutrisi dalam setiap makanan yang diambil supaya dapat mengesan kandungan gula yang tersembunyi. Dengan cara ini, kita dapat memastikan kadar kalori dapat diambil sewajarnya mengikut keperluan tubuh badan,” ujarnya.

Selain itu, tambah Dr. Yi Loon menasihatkan agar orang ramai melakukan aktiviti bersukan seperti bersenam sekurang-kurangnya 150 minit seminggu (iaitu lima atau enam kali seminggu). Ini berupaya mengekalkan kecergasan dan meningkatkan kesihatan kardiovaskular.

Di samping itu, lakukan juga aktiviti fizikal dalam rutin harian, seperti berjalan pantas dan menaiki tangga. Aktiviti dan senaman ini turut berfungsi untuk mengurangkan berat badan yang berlebihan.

“Walaubagaimanapun, adalah sukar untuk melakukannya tanpa disiplin yang tinggi. Jadi, adalah sangat penting untuk seseorang itu berusaha bersungguh-sungguh mengikuti rawatan yang diberikan dan melakukan perubahan gaya hidup yang lebih sihat. Ini kerana masalah kencing manis ini merupakan penyakit yang berpanjangan.

“Sesetengah pesakit hanya membeli ubat kencing manis yang sama tanpa mendapatkan pemantauan dari doktor. Sebenarnya, rawatan susulan dan ujian berkala adalah penting dalam pengawalan tahap kencing manis serta mampu mengesan awal sebarang komplikasi yang berlaku terhadap pesakit.

Secara tidak langsung, ini membolehkan pesakit dapat mengambil langkah awal untuk merawat penyakit mereka. Di samping itu, ubat-ubatan yang diberikan juga perlu diubah dari semasa ke semasa sekiranya pengawalan kencing manis tersebut tidak mencapai paras yang memuaskan,” tambahnya.

Kesimpulannya, setiap individu perlu cakna dan peka terhadap kesihatan mereka, terutamanya golongan muda. Ini kerana mereka berisiko mendapat penyakit kencing manis tanpa mengetahui bahawa mereka telah menghidapi penyakit tersebut. Bahkan, golongan ini berisiko mendapat komplikasi yang lebih ketara. Malah, jangka hayat mereka akan lebih singkat sekiranya telah disahkan menghidapi kencing manis.

Berita berkaitan
Hadi dibenar keluar hospital, berehat di rumah
July 2, 2023· Politik
Orang kuat PKR doakan kematian Hadi, Dr Mahathir: Laporan
July 1, 2023· Politik
Derma darah – Selamatkan insan yang memerlukan
June 28, 2023· Isu semasa
Tajaan JPA bagi bidang perubatan pergigian dan farmasi dihentikan
June 10, 2023· Isu semasa
Popular
Kenali pereka kasut, Jimmy Choo
November 6, 2021
Banjir: Tiga beradik maut kena renjatan elektrik di Kelantan
December 19, 2022
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
SPRM ambil keterangan kedua Menteri DAP: Laporan
April 19, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok