Pelitup muka berganda beri perlindungan 85.4 peratus: KP Kesihatan

Pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci menunjukkan cara memakai pelitup muka berganda. - Gambar AP

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemakaian pelitup muka berganda dapat membantu menapis lebih banyak partikel berbanding satu pelitup muka kain.

Sementara keberkesanan perlindungannya pula mencapai 85.4 peratus.

Beliau berkata, Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) dan pakar penyakit berjangkit AS, Dr Anthony Fauci telah melakukan pengesahan ke atas pemakaian pelitup muka berganda itu.

“Ia didapati membantu menapis lebih banyak partikel berbanding satu pelitup muka kain,” katanya dalam kenyataan hari ini sebagai mengulas galakan beliau semalam, supaya orang ramai memakai pelitup muka berganda jika berada di kawasan berisiko, termasuk hospital.

Semalam, beliau turut menggalakkan orang ramai untuk memakai ‘face sheild’ sebagai langkah pencegahan kendiri.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata dua kajian telah dijalankan oleh CDC dan mendapati pemakaian pelitup muka kain di atas pelitup muka perubatan dapat mengurangkan risiko terdedah kepada virus Covid-19

Beliau turut memuat naik gambar cara-cara pemakaian pelitup muka berganda itu di laman Twitternya, hari ini.

“Sememangnya pemakaian dua pelitup muka akan menjadikan pernafasan sedikit sukar, namun secara umumnya penggunaan pelitup muka perubatan (3-ply surgical mask) dengan pelitup muka kain dapat digunakan dengan baik oleh kebanyakan pengguna dan ianya tidak mengurangkan pembekalan oksigen kepada pemakai,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai daripada mengelak memakai dua pelitup muka perubatan atau dua pelitup muka kain sebagai pelitup muka berganda.

“Pelitup muka N95 sepatutnya digunakan satu sahaja dan tidak dipasangkan dengan pelitup muka lain,” katanya.

POPULAR