Pelanggan BSN sudah boleh mohon Bantuan Bayaran Balik Bersasar

Permohonan Bantuan Bayaran Balik Bersasar sudah boleh dimohon bagi pelanggan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bantuan tersebut akan disalurkan sebagai komitmen pihak BSN untuk membantu pelanggan yang berdepan kesulitan untuk meneruskan pembayaran ansuran bulanan pinjaman atau pembiayaan, kata Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil.

“Proses permohonan adalah mudah dan boleh dilakukan pada bila-bila masa yang mana hanya pengisytiharan diri secara dalam talian diperlukan tanpa sebarang dokumen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, bantuan itu ditawarkan kepada pelanggan yang hilang pekerjaan, mengalami pengurangan pendapatan dan segmen B40 yang berdaftar dengan Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Bantuan itu turut ditawarkan kepada perusahaan mikro dengan nilai kemudahan diluluskan sehingga RM150,000 dan perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pelanggan boleh memilih bantuan tiga bulan penangguhan ansuran bulanan (moratorium), 50 peratus pengurangan ansuran bulanan untuk tempoh enam bulan atau penstrukturan semula (bagi pinjaman/pembiayaan sewa beli dan pinjaman/pembiayaan berkadar tetap),” menurut kenyataan itu.

Pelanggan yang ingin mendapatkan bantuan bayaran balik pembiayaan boleh membuat permohonan melalui https://www.bsn.com.my/page/TRA.

BERITA BERKAIT
POPULAR