
Langkawi menjadi lokasi pertama dibuka dibawah program gelembung pelancongan semasa pasca pandemik sebelum ini.
Sektor pelancongan di Langkawi boleh dibuka semula – dijangkakan September depan – apabila 61,000 penduduk pulau itu menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19, kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Mengikut data populasi Kedah 2020, daerah Langkawi mempunyai seramai 111,500 penduduk.
Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi hari ini memaklumkan tiada kes positif baharu dilaporkan, sementara satu kes telah sembuh menjadikan keseluruhannya 299 kes, manakala 22 pesakit masih dirawat.
Sanusi berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memastikan 80 peratus penduduk pulau panginan itu menerima vaksin.
“Penduduk Langkawi perlu mendapat suntikan vaksin Covid-19 bagi membolehkan gelembung perjalanan dilaksanakan di pulau itu apabila rentas negeri dibenarkan dan sempadan negara kembali dibuka,” katanya hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri sudah menyelaraskan usaha itu pada peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah yang dikendalikan pegawai daerah untuk menyediakan pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mempercepatkan program imunisasi kepada penduduk pulau itu.
“Selepas proses vaksinasi di Langkawi selesai, barulah rakyat yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin boleh memulakan percutian ke Langkawi. Insya-Allah bermula September ini,” katanya.
Sanusi juga berkata syarikat penerbangan Qatar Airways turut menyatakan kesediaan untuk bersama melaksanakan gelembung perjalanan di Langkawi, dengan menyediakan tujuh penerbangan seminggu dari 121 destinasi antarabangsa.
“Semalam pihak Qatar Airways sudah berjumpa dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk menyatakan komitmen mereka dan kita harap dapat bersedia melaksanakan gelembung perjalanan ini selepas program vaksinasi di Langkawi selesai,” katanya.
Beliau berkata pembukaan semula sektor pelancongan di Langkawi perlu diberi perhatian susulan saingannya iaitu Krabi dan Phuket di Thailand juga dijangka dibuka tidak lama lagi.
“Kita kena pastikan Langkawi juga akan menjadi destinasi pilihan pelancong domestik atau antarabangsa sebaik sahaja perjalanan rentas daerah dan negeri dibenarkan,” katanya.
Sementara itu Muhammad Sanusi memberitahu semua PPV di Kedah mempunyai keupayaan untuk melakukan 80,000 suntikan vaksin seminggu.
“Tapi setakat ini Kedah menerima kira-kira 29,000 (dos) bekalan vaksin seminggu daripada MOSTI dan kita dijanjikan untuk mendapat 52,000 (dos) bekalan vaksin dalam sebulan. Saya yakin pihak menteri di MOSTI sedang bertungkus lumus untuk pastikan bekalan vaksin sampai dalam masa ditetapkan,” katanya.