Pelan Pemulihan Negara, langkah strategik negara keluar daripada pandemik

Pelan Pemulihan Negara yang dibentang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pelan Pemulihan Negara merupakan langkah strategik kerajaan untuk keluar daripada kemelut yang melanda negara  ketika ini akibat penularan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, pelan itu akan melalui empat fasa secara berperingkat yang meliputi aspek sosial dan ekonomi yang akan dilaksanakan sebaik sahaja penularan Covid-19 dibendung dan mencapai imuniti berkelompok.

“Pelan Pemulihan Negara merupakan pelan strategik peralihan kita untuk keluar secara berfasa daripada kemelut Covid-19,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung hari ini.

Jelasnya, pelan itu dirangka sebaik mungkin bagi memastikan kemaslahatan rakyat dipelihara.

“Kita rangka sebaik mungkin bagi memastikan keputusan diambil untuk lindungi nyawa dan pastikan kelangsungan hidup rakyat.

“Kita telah mengambil kira ancaman Covid-19 yang masih menular dan kes aktif yag masih tinggi,” katanya.

Pelan ini juga katanya, satu panduan yang dirangka secara berhati-hati dan teliti iaitu menerusi penilaian data dan sains, supaya kehidupan rakyat dapat dikembalikan seperti dahulu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pelan yang bermula dengan Fasa Pertama sedang dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19 yang memberi kesan kepada sistem kesihatan awam negara.

“Fasa Pertama iaitu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh yang sedang dilaksanakan sekarang dalam keadaan bilangan kes Covid-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah,” katanya.

Jelasnya, kerajaan akan menimbang peralihan daripada Fasa Pertama kepada Fasa Kedua PKP setelah purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi menerima dua dos suntikan vaksin.

“Fasa Kedua merupakan kesinambungan daripada Fasa Pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat,” katanya.

Tambahnya, semasa Fasa Kedua aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis dalam sektor-sektor ekonomi.

“Senarai positif daripada Fasa Pertama akan ditambah pada Fasa Kedua dengan menambahkan beberapa sektor dan aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

“Sebaliknya, aktiviti pembuatan seperti simen serta aktiviti peruncitan seperti barangan elektronik dan komputer dibenarkan bagi menyokong mereka yang bekerja dari rumah,” katanya.

Jelasnya, semasa Fasa Kedua masih terdapat aktiviti pembuatan, pembinaan, peruncitan dan perkhidmatan yang tidak disenaraikan dan kekal tidak beroperasi seperti pembuatan tekstil dan kedai perabot.

Dalam pada itu katanya, semasa Fasa Ketiga nanti semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan Covid-19 atau melibatkan keramaian.

“Fasa Ketiga pula melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan Covid-19 yang masih ditutup,” katanya.

Sementara itu katanya, Fasa Keempat pula adalah fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara apabila masyarakat berkemungkinan dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian seperti biasa.

“Semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat.

“Fasa ini dapat dilaksanakan apabila bilangan kes Covid -19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok selewatnya pada akhir tahun ini,” katanya.

Tambahnya, pelan ini juga merupakan pelan yang dinamik di mana sekiranya kita berjaya dalam tiga indikator utama pada mana-mana fasa, Kerajaan boleh terus mengambil keputusan untuk bergerak ke fasa seterusnya.

POPULAR