
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Undang-undang yang melarang Ahli Parlimen bertukar parti akan berkuatkuasa serta-merta bermula esok (5 Oktober), kata Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) itu adalah komitmen kerajaan bagi memastikan undang-undang melarang Ahli Parlimen bertukar parti dapat melindungi hak rakyat dan sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah perkenan tarikh kuat kuasa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 pada 5 Oktober 2022 selaras dengan seksyen 1(2) dan seksyen 1(3) Akta A1663”, katanya dalam satu kenyataan.
Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) sudah diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga (2/3) di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 dengan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat seramai 209 orang dan di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022 dengan sokongan majoriti seramai 52 orang Senator.
Penetapan tarikh baharu kuat kuasa bagi Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) mulai 5 Oktober 2022, maka pindaan bagi seksyen 7A Jadual Kelapan, Fasal 6 Perkara 48, Perkara 160 dan Fasal baharu 3A Perkara 10 serta Perkara baharu 49A, dapat dikuatkuasakan dengan segera.
Ia seterusnya membenarkan pemakaian Akta A1663 ini di peringkat Negeri, tertakluk perkenan Sultan/Tuan Yang Terutama/Raja Negeri berkenaan.