
Kedua-dua suspek difahamkan melarikan diri dari lokasi kejadian menggunakan sebuah kereta pacuan empat roda milik pengguna jalan raya lain yang ingin membantu mereka.
Seorang pelakon lelaki popular direman selama tiga hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes menumbuk dan menendang seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di ibu negara, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata pelakon berusia 30-an itu ditahan tengah hari semalam di kediamannya di kondominium sama.
“Kejadian berpunca apabila pelakon terbabit meminta rakannya menghantar barang ke kediamannya kira-kira jam 8 malam namun tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan itu.
“Pelakon itu kemudian turun ke lobi untuk bertanya kepada pengawal keselamatan tentang perkara tersebut dan berlaku pentengkaran di antara mereka berdua.
“Artis lelaki berkenaan yang turut berada di lobi itu kemudian secara tiba-tiba datang dan dipercayai menumbuk dan menendang mangsa,” katanya menurut Bernama.
Habibi berkata mangsa dikatakan telah ditumbuk dan ditendang di bahagian muka, dada, perut dan belakang badan dan suspek disyaki turut mengugut mangsa.
“Mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana memukul dan melakukan ugutan jenayah,” katanya.