Pelakon ‘duit raya’ GDBET333 bersuara, tak tahu iklan judi

Saifullah Mohd Yunus yang memainkan watak utama sedia memberi kerjasama kepada polis.

Sebelum tertangkap, tiga daripada lima model sambilan yang berlakon dalam klip video perjudian dalam talian yang mencetuskan kemarahan umat Islam sempat menceritakan hal sebenar.

Memetik laporan sebuah portal dalam talian, ketiga-tiganya mendakwa hanya diberitahu bahawa khidmat mereka diperlukan untuk menjayakan rakaman MV sempena Aidilfitri.

“Wakil produksi hubungi dan memasukkan kami dalam grup WhatsApp bernama Raya MV Shoot March 2021. Saya beli baju raya semata-mata untuk penggambaran itu tanpa mengetahui ia bagi mewakili jenama apa.

“Sudah menjadi kebiasaan pemilik brand merahsiakan produk mereka… malah ketika kita buat penggambaran pun mereka cakap jangan ambil video, jangan beritahu sesiapa sebab surprise,” kata seorang daripada mereka.

Penggambaran MV judi raya itu dibintangi lima pelakon beragama Islam terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita diadakan di Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor.

Klip video yang tular di media sosial mendapat perhatian pelbagai pihak kerana mencemarkan kesucian Ramadan dan Aidilfitri, sehingga polis membuka kertas siasatan untuk mengenal pasti penerbit dan pelakonnya.

Bagaimanapun, semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan semua pelakon klip video judi ‘duit raya’ itu sudah ditahan di sekitar ibu kota.

Menurut pelakon yang memegang watak pembantu itu, dia dan rakan-rakannya hanya menyedari mereka terbabit dalam sebuah iklan mempromosi judi pada hari penggambaran 13 Mac lalu.

“Kami desperate, freelance macam kami terjejas teruk (akibat Covid-19). Apabila dapat job ni saya ambil je tanpa banyak tanya soalan. Untuk job ni mereka bayar pun sikit sangat.

“Kita buat sebab tak ada cara lain cari duit.. kami freelancer,” katanya yang menyesal tidak menarik diri selepas mengetahui tujuan klip video berkenaan untuk iklan judi.

Bagaimanapun, pelakon utama klip video berkenaan, Saifullah Mohd Yunus kecewa dengan apa yang berlaku tetapi terpaksa meneruskan penggambaran kerana mahu bersikap profesional.

Katanya, dia dan rakan-rakannya sedia memberi kerjasama kepada polis yang menyiasat kes itu.

Pelakon iklan judi ‘duit raya’ kena tangkap

POPULAR