
Hafidz Roshdi.
Seorang pelakon, Hafidz Roshdi yang menumbuk isterinya sebelum ini dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri.
Hafidz yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pagi tadi atas pertuduhan memukul isterinya membuat pengakuan tidak bersalah dan susulan itu Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak selaku Majistret memutuskan menghantar pelakon itu ke Hospital Bahagia.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar memohon supaya tertuduh dihantar untuk menjalani pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.
Hafidz, 29, berdepan tuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali hingga luka dalam kejadian di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini, pada 2 Mac lalu.
Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, membuat pengakuan tidak bersalah itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Hafidz didakwa menumbuk isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.
Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya di sini pukul 3.30 pagi pada 2 Mac lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.
Prosiding pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar, manakala Hafidz diwakili peguam bela, Datuk Akberdin Abdul Kader.