
Surat pengesahan perlu dikemukakan kepada petugas sekatan jalan raya bagi melancarkan pergerakan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan pelajar, ibu bapa, guru serta tenaga pengajar yang ingin melakukan pergerakan rentas negeri susulan pembukaan semula sekolah dan institusi pendidikan supaya menyediakan surat pengesahan sebelum bergerak.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali, berkata surat pengesahan itu perlu diperoleh daripada Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah atau institusi pendidikan untuk ditunjukkan kepada petugas sekatan jalan raya (SJR) bagi melancarkan pergerakan.
Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pergerakan harian ke sekolah, insitutsi pendidikan dan asrama membabitkan rentas negeri.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan pelajar, ibu bapa, guru dan tenaga pengajar yang ingin berulang alik ke sekolah atau pergerakan kembali ke sekolah serta asrama dan perlu merentas negeri agar menyediakan surat pengesahan itu.
“Surat pengesahan perlu dikemukakan kepada petugas sekatan jalan raya bagi melancarkan pergerakan masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata murid atau pelajar yang terlibat dibenar merentas negeri untuk ke sekolah atau institusi pendidikan dengan menggunakan surat pengesahan sama ada daripada KPM, sekolah atau institusi pendidikan
“Pergerakan pergi dan balik ke sekolah atau institusi pendidikan oleh murid atau pelajar yang terlibat, mereka boleh ditemani oleh seorang penjaga,” katanya.
Selain itu, katanya pergerakan guru atau tenaga pengajar ke sekolah atau institusi pendidikan yang perlu merentas negeri untuk tujuan pengajaran atau pembelajaran (PdP), dibenarkan dengan surat pengesahan daripada KPM, sekolah atau institusi pendidikan.
Bagi urusan kawalan murid atau pelajar kembali ke asrama pula, Hazani berkata SOP menetapkan pergerakan merentas adalah dibenarkan dengan menggunakan surat pengesahan sama daripada pihak berkenaan.