
Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mustamaman menyerahkan replika cek zakat perniagaan kepada Ketua Pegawai Zakat MAIK, Ameer Azeezy Tuan Abdullah di Kota Bharu, Khamis lalu (23 Mac 2023). - Gambar MAIK
Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di Kelantan, Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mustamaman yang juga pengasas produk pemakanan menjadi individu paling muda membayar zakat perniagaan sebanyak RM10,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Zakat itu diserahkan kepada Ketua Pegawai Zakat MAIK, Ameer Azeezy Tuan Abdullah, di pejabat MAIK Khamis lalu (23 Mac 2023).
Putri Mumtaz berkata, dia tampil menunaikan tanggungjawab itu selepas produk yang diusahakannya mencapai jualan sebanyak RM400,000 dalam tempoh empat bulan mula dijual bermula September tahun lalu.
“Saya mula berniaga menerusi aplikasi TikTok dan agak terkejut apabila mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan. Susulan itu saya mula mengambil ejen untuk meluaskan lagi penjualan produk saya.
“Susulan sambutan yang menggalakkan, ibu, Bibi Hasnalinda Zainal Abidin, 46, dan ayah, Mustaman Che Yusof, 60, menasihati saya supaya mengeluarkan zakat perniagaan kepada MAIK,” katanya menurut laporan BH.
Katanya, dia lega dapat menjadi salah seorang pembayar zakat dan berharap sumbangan itu dapat membantu golongan yang memerlukan.
“Ini juga ajaran nenek sebab nenek selalu berpesan apa-apa mesti dahulukan zakat. Saya juga berharap perniagaan ini semakin maju katanya.
Bibi Hasnalinda turut menyifatkan rasa terharu dengan usaha yang ditunjukkan anaknya untuk tampil membayar zakat walaupun usianya masih muda.
Katanya, dia berharap tindakan itu akan menjadi contoh kepada usahawan dan ahli perniagaan lain untuk sama-sama membayar zakat.
“Saya sentiasa berpesan kepada anak apa yang kita lakukan jangan kita lupakan Allah,” katanya.
Sementara itu, Ameer Azeezy, berkata pihak MAIK bertuah kerana mendapat pembayar zakat termuda iaitu baru berusia 14 tahun.
“Dalam beliau bersekolah dan belajar, namun masih sempat mencari rezeki dengan cara yang betul dan tidak lupakan Allah,” katanya.