Pelaburan tinggi dalam vaksin mampu bawa pulangan jangka panjang: PM

Walaupun kerajaan membuat pelaburan tinggi bagi menghasilkan vaksin sendiri, ia dijangka akan memberi pulangan jangka masa panjang yang berbaloi kepada rakyat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata inisiatif Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) akan mencorak laluan dalam mengeluarkan produk vaksin sendiri yang berkualiti, berkesan dan selamat mengikut syarat ditetapkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Walaupun pembangunan R&D dan penghasilan vaksin ini merupakan suatu pelaburan yang tinggi, tetapi ia berpotensi memberikan pulangan jangka panjang buat Keluarga Malaysia melalui penjimatan kos merawat penyakit selain membawa pelaburan syarikat multinasional ke Malaysia.

“Melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI ini, modal insan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang penyelidikan terutamanya yang berkaitan dengan kesihatan dan vaksin akan dapat dilahirkan,” katanya pada majlis pelancaran PPVN dan MGVI di Institut Genom Malaysia (MGI) hari ini.

Beliau berkata berkata PPVN tidak akan tertumpu hanya pada vaksin Covid-19 semata-mata, tetapi ia diperluaskan juga kepada vaksin bagi penyakit lain antaranya pembangunan vaksin untuk kanser kepala dan leher oleh Pusat Penyelidikan Kanser.

Jelasnya lagi, terdapat tiga projek bersedia untuk dilaksanakan melalui PPVN iaitu pertama melibatkan projek penghasilan dua jenis vaksin Covid-19 menggunakan virus yang dilemahkan (inactivated) dan mRNA yang dibangunkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Bagi tujuan itu jumlah disalurkan oleh kerajaan melibatkan peruntukan penyelidikan Kementerian Kesihatan (KKM) dan SUKUK Prihatin (bantuan khas peruntukan penyelidikan Covid-19) yang berjumlah RM3.5 juta.

Projek kedua, kata beliau adalah vaksin kolera yang dibangunkan hasil kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), dengan ementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut membiayai projek itu menggunakan Dana Penyelidikan Strategik (SRF) sebanyak RM10.5 juta bagi “Pembangunan Vaksin Mukosa/Oral/Subunit Terhadap Kolera, Tuberkulosis dan Covid-19”.

“Sementara itu, yang ketiga melibatkan projek Penilaian Praklinikal Vaksin Kanser Terapeutik untuk Rawatan Kanser Kepala dan Leher oleh Cancer Research Malaysia (CRM) berjumlah RM3 juta yang dibiayai oleh MOSTI.

“Bagaimanapun, memandangkan tiada kemudahan ujian klinikal iaitu yang pertama terhadap manusia di Malaysia lagi pada ketika ini, maka CRM akan menjalankan ujian klinikal bermula Februari 2022 sehingga Mac 2023 di United Kingdom,” katanya.

Selain itu, inisiatif tersebut juga akan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat selain meningkatkan taraf hidup serta kesihatan rakyat Malaysia.

“Lebih banyak peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan untuk Keluarga Malaysia sekali gus membantu meningkatkan jumlah tenaga pekerja mahir dan meningkatkan taraf hidup serta kesihatan rakyat,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR