
Kebun Musang King haram di Raub.
Tawaran penyelesaian pihak Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn. Bhd. (RPDR-PKPP) ditolak pekebun Musang King tanpa geran di Raub.
Pengerusi umpulan mewakili pekebun Musang King tanpa geran itu, Wilson Chang mendakwa terma-terma penyelesaian bersifat berat sebelah seperti menetapkan harga tetap yang jauh murah daripada pasaran, memaksa pekebun menjual semua durian kepada kilang syarikat terbabit yang belum dibina, menurut laporan Utusan Malaysia.
“Lanjutan itu, mereka mencapai resolusi bahawa rundingan tersebut perlu berdasarkan prinsip rakan setara, ini bermakna segala syarat kontrak dan penandatanganan kontrak harus berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.
“Tambahan pula, perdagangan bebas perlu dijamin bagi suasana persaingan yang sihat. Aktiviti penjualan durian kepada pihak syarikat haruslah bebas daripada unsur paksaan.
“Pekebun-pekebun juga sudi membayar kadar cukai tanah yang 20 kali lebih daripada kadar cukai yang ditetapkan dalam Warta Negeri Pahang 2019. Mereka juga sedia untuk membayar kos tahunan pemeliharaan alam sekitar untuk mewujudkan industri durian dan persekitaran yang lestari,” kata Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka) itu.
Terdahulu, kira-kira 500 pekebun berhimpun di Sungai Ruan semalam.
Chang berkata, perhimpunan itu juga mencapai resolusi untuk meneruskan semakan kehakiman atas alasan bahawa syarat-syarat baharu yang ditawarkan RPDP-PKPP masih tidak dapat menjamin kepentingan pekebun-pekebun Musang King.
Beliau dalam pada itu berkata, Samka juga berasa kesal kerana wakil RPDR-PKPP menolak menghadiri perhimpunan tersebut melalui surat rasmi daripada firma peguam.
“Syarikat RPDR-PKPP tidak pernah menganjurkan sesi townhall dengan pihak pekebun, malah enggan merebut peluang ini untuk berdialog.
“Ia adalah jelas bahawa syarikat swasta tersebut langsung tidak berniat untuk mencapai solusi menang-menang dengan pekebun-pekebun tetapi hanya berfokus kepada keuntungannya sahaja,” katanya.
Pada 27 Januari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataannya menasihatkan pekebun durian Musang King di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum di Raub yang terlibat dengan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan supaya menimbang semula sama ada untuk meneruskan atau tidak tindakan permohonan semakan kehakiman tersebut.