Pekebun Musang King dihalang masuk hutan simpan Batu Talam

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menghalang pekebun haram durian daripada memasuki Hutan Simpan Kekal Batu Talam di Raub untuk mengambil peralatan mereka setelah mendapat nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Timbalan Pendakwa Raya.

Pengarah JPNP dalam satu kenyataan hari ini berkata tindakan itu dibuat bagi mengelak siasatan yang sedang giat dijalankan terganggu.

“JPNP meneliti laporan mengenai permohonan disampaikan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkaitan hasrat pekebun yang ingin memasuki ke kawasan operasi bagi tujuan mendapatkan semula barang milik mereka yang tertinggal di dalam kawasan HSK Batu Talam.

“Selepas mendapat nasihat serta pandangan, JPNP tidak membenarkannya. Jika kebenaran diberikan, ia boleh mengganggu siasatan yang kini sedang giat dilengkapkan sepenuhnya untuk tujuan pendakwaan,” katanya.

Terdahulu, Wan Rosdy dilaporkan berkata, kebenaran memasuki dan mendapatkan barangan milik pekebun haram di Batu Talam itu perlu diperoleh daripada JPNP.

“Saya meminta Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon mendapatkan sendiri kebenaran daripada JPNP untuk mendapatkan barangan milik pekebun haram durian yang terdapat di hutan simpan berkenaan.

“Kebenaran daripada jabatan terbabit perlu diperoleh kerana kerajaan negeri bertegas dan tidak berkompromi dalam isu pencerobohan hutan,” katanya.

Sejak operasi pada 3 Julai lalu, kira-kira 15,000 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dalam HSK Batu Talam seluas lebih 101 hektar sudah ditebang.

Jabatan Perhutanan negeri bercadang menanam kira 20,000 pokok hutan antaranya Merawan, Meranti, Balau, Keruing dan beberapa spesis lain dan setakat ini, lebih 2,000 pokok sudah ditanam.

POPULAR