Peka dengan ramalan dan perubahan cuaca

Minggu lalu kita menyaksikan ibu negara mengalami banjir teruk yang menjejaskan beberapa kawasan antaranya Jalan Kuchai Lama, Jalan Lebuh Ampang, Taman Salak Selatan, Jalan Ampang, Taman Sri Petaling dan Kampung Baru.

Ia diikuti dengan laporan seramai 251 mangsa dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air. Sebelum itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sudah mengeluarkan jangkaan ramalan cuaca bahawa Kuala Lumpur akan mengalami hujan yang berterusan di beberapa kawasan sehingga 14 Mac 2022.

Banjir memusnahkan harta benda, malah nyawa. Walaupun kejadian kali ini tidak hingga meragut nyawa tetapi seharusnya membuat kita lebih berwaspada dengan ramalan cuaca.

Apabila METMalaysia mengeluarkan jangkaan ramalan cuaca, diharap orang ramai bersedia, misalnya dengan menangguhkan perjalanan sekiranya ia memberikan risiko. Fikirkan kemungkinan kenderaan terperangkap di kawasan yang rendah atau kesesakan lalu lintas jika berlaku banjir kilat.

Kita perlu lebih peka dengan ramalan dan perubahan cuaca. Hal ini disebabkan jika berlaku tragedi banjir ia mendatangkan kesan jangka panjang. Kemusnahan harta benda tentunya tidak dapat dielakkan dan semua ini membawa kepada kerugian dalam keadaan faktor ekonomi yang semakin terjejas kini.

Bagi pihak kerajaan, banjir tentunya meningkatkan perbelanjaan berikutan kerosakan harta awam seperti jalan raya, bangunan dan elektrik. Kerajaan perlu menanggung kerugian untuk memperbaiki kerosakan yang terjejas.

Ini ditambah dengan tanggungjawab menyediakan pelbagai keperluan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan di samping perlu menyediakan penempatan sementara untuk mangsa banjir yang terjejas.

Banjir turut memberikan kesan psikologi, terutama kepada mangsa yang masih dalam fasa pemulihan selepas tragedi di Selangor, Disember lalu. Hujan lebat yang berterusan sudah tentu menimbulkan kerisauan, ketakutan dan trauma jika tragedi yang sama akan berulang lagi. Sehinggakan ada mangsa sanggup berjaga malam untuk memastikan keselamatan diri dan harta benda rumah sebagai langkah waspada.

Justeru dalam semua keadaan ini, kita perlu lebih waspada dengan informasi berkaitan cuaca. Pihak bertanggungjawab juga perlu lebih kerap berkongsi maklumat atau pesanan. Lakukan ia dengan lebih awal sebagai peringatan termasuk lokasi yang dijangka akan terjejas.

Hal ini bagi memudahkan masyarakat membuat persediaan awal berhadapan bencana serta mengelakkan kerugian dan impak psikologi yang berpanjangan.

Dalam pada itu, jika anda peminat drama Korea Selatan, drama berjudul Forecasting Love and Weather menjadi satu lagi karya yang menarik tontonan ramai, sekali gus popular di hati peminat.

Membariskan pelakon hebat antaranya, Park Min-young dan Song Kang, drama ini menceritakan tentang Pengurusan Meteorologi Korea sebagai latar belakang. Bidang itu agak terpencil dan memang susah nak dapatkan maklumat terperinci.

Menariknya, kita akan menyaksikan jabatan kaji cuaca tersebut memainkan peranan sangat penting dalam memberi maklumat cuaca sama ada hujan atau panas. Bukan sekadar ramalan ribut petir mencuri tumpuan, malah cuaca panas perlu diuar-uarkan. Jika hujan tanpa henti menyebabkan banjir, cuaca panas juga menyebabkan rakyat Korea cepat letih, lesu hingga menyebabkan risiko kemalangan jalan raya dan peningkatan bil elektrik.

Jika Pengurusan Meteorologi Korea gagal menyampaikan maklumat tepat atau terlepas maklumat serta ramalan cuaca penting, media massa Korea akan memberi teguran malah rakyat berhak memberi teguran.

Begitulah kisah drama yang bukan semata-mata menonjolkan elemen cinta, malah maklumat meteorologi yang mungkin penonton tidak tahu.

BERITA BERKAIT
POPULAR