Pejabat mufti gesa ubah nama ‘Timah’ pada jenama arak

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyifatkan penggunaan perkataan bahasa Melayu bagi jenama arak, seperti ‘Timah’ berpotensi mengancam perpaduan dan keamanan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Sehubungan itu, syarikat pengeluar arak berkenaan perlu menarik balik dan mengubah serta-merta nama ‘Timah’ itu walaupun ianya didakwa sebagai nama bijih timah, kata pejabat mufti berkenaan dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu berkata, isu berkenaan telah mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat Islam kerana ia dilihat seolah-olah satu tindakan biadap dan tidak menjaga sensitiviti orang Islam dalam negara ini, yang merupakan penduduk majoriti.

“Selain itu, perbuatan tersebut juga menimbulkan persepsi seolah-olah ada agenda tersembunyi seperti ingin menormalisasi budaya arak dalam kalangan masyarakat Melayu Muslim.

“Penggunaan jenama arak dengan perkataan bahasa Melayu seperti ‘Timah’ ini amatlah tidak wajar sama sekali.

“Ia mesti ditarik dan diubah serta-merta, di samping gambar yang digunakan juga hendaklah tidak menyentuh sensitiviti masyarakat Islam yang merupakan penduduk majoriti, demi keharmonian negara,” kata kenyataan itu.

Pejabat itu juga menasihatkan semua pihak berkaitan agar lebih sensitif dan peka terhadap isu-isu sedemikian yang berpotensi mengancam perpaduan dan keamanan masyarakat berbilang kaum.

“Memelihara kerukunan masyarakat dan tidak melanggar batas-batas yang boleh mengancam kestabilan hidup dan menggugat keharmonian umat Islam adalah menjadi teras kestabilan negara ini,” katanya.

Pejabat mufti itu juga berpendapat menjaga keharmonian negara daripada huru-hara akibat penggunaan nama yang sensitif itu lebih bermanfaat daripada dibiarkan.

“Dalam hal ini, maslahat atau kebaikan menjaga keharmonian negara dalam kalangan masyarakat daripada timbulnya huru-hara, kekacauan dan seumpamanya dengan melarang penggunaan jenama yang sensitif ini adalah lebih besar berbanding membiarkannya, di samping dapat meminimumkan mafsadah yang mungkin berlaku dalam kalangan masyarakat akibat daripada arak tersebut.

“Maka, tindakan tegas daripada pihak berwajib amat perlu dalam menangani permasalahan ini.

“Sehubungan dengan itu, tindakan dan langkah proaktif pihak kerajaan dan juga pemerintah amat perlu dalam menyelesaikan isu ini, dengan memastikan kemaslahatan rakyat terjaga dan juga kemudaratan ke atas rakyat turut terhindar,” kata kenyataan itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR