
Peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sidang media di ibu negara hari ini (5 Januari 2023). - Gambar Agenda Daily
Seorang peguam senior Singapura hari ini mendakwa peguam Malaysia, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak mengeluarkan kenyataan yang benar mengenai dirinya pada prosiding permohonan semakan Datuk Seri Najib Razak bagi mengetepikan sabitan dan hukuman kes penyelewengan dana SRC International Snd Bhd.
Dalam satu kenyataan media hari ini (25 Januari 2023), peguam Niru Pillai menyifatkan kenyataan Muhammad Shafee bahawa beliau bakal dikenakan tindakan disiplin oleh Badan Peguam Singapura kerana beramal tanpa lesen sah, adalah keji dan palsu.
Niru adalah rakan kongsi firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) yang dilantik oleh Najib pada 25 Julai tahun lalu, iaitu kira-kira tiga minggu sebelum pendengaran rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan, selepas memberhentikan khidmat pasukan pembelaan yang diketuai Muhammad Shafee.
“Saya membaca dengan penuh rasa hina kenyataan itu di mana beliau membuat kenyataan palsu yang mengejutkan, termasuk terhadap saya.
“Beliau (Muhammad Shafee) tidak memberikan kenyataan benar kepada mahkamah dan mengetahuinya, tetapi saya tidak terkejut beliau berbuat demikian kerana itu itu adalah cirinya.
“Beliau gagal untuk menyedari bahawa terdapat banyak rekod secara bertulis, termasuk perbualan yang dirakam dan pesanan WhatsApp mengenai apa yang sebenarnya berlaku.
“Walau apa pun, ini adalah satu lagi contoh kelakuan Shafee yang boleh diramal, di mana beliau berusaha untuk menyembunyikan kekurangan dan kegagalannya dengan tipu daya lisan,” katanya menurut BH.
Dalam hujahan di Mahkamah Persekutuan minggu lalu, Muhammad Shafee berkata firma guaman ZIST tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk mengendalikan kes besar dan menyebabkan Najib gagal dalam rayuan serta dipenjarakan di Penjara Kajang.
Muhammad Shafee juga berkata, ZIST tidak arif mengenai undang-undang jenayah dan Niru akan dikenakan tindakan disiplin oleh Badan Peguam Singapura kerana beramal tanpa lesen.
Sementara itu, Niru yang membidas kenyataan itu, berkata Najib bertemu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim supaya mengambil alih pembelaan kes SRC kerana semakin bimbang dengan cara Muhammad Shafee mengendalikan rayuan kes berkenaan.
Menurut Niru, daripada menumpukan kepada undang-undang dan fakta dan apa yang boleh dibuktikan atau dihujahkan secara adil dari segi undang-undang, Muhammad Shafee sebaliknya menyerang integriti semua orang, termasuk hakim perbicaraan.
Katanya, Najib bimbang bahawa ini akan menyebabkan permusuhan kepada pihak pendakwaan dan mahkamah yang seterusnya menjejaskan prospeknya dalam pembelaan ketika mengemukakan rayuan.
“Zaid bercakap kepada saya mengenai kebimbangan Najib dan meminta bantuan saya untuk mendapatkan nasihat peguam jenayah di India. Mereka boleh memberikan bantuan yang jelas kerana Kanun Keseksaan di Malaysia berasal daripada Kanun Keseksaan India.
“Saya dengan cepat mendapatkan khidmat dua peguam bela kanan India Sidharth Luthra dan Kavin Gulat yang juga antara yang terbaik di India.
“Saya harus menyatakan bahawa pasukan ZIST tidak pernah menawarkan kepada Najib untuk mengambil alih daripada Shafee.
“Kedua-dua pasukan sepatutnya bekerjasama di mana ZIST akan menumpukan kepada permohonan bukti baharu manakala Shafee dan pasukannya menangani rayuan utama,” katanya.
Niru berkata, bagaimanapun tindakan tidak jujur Muhammad Shafee yang menghalang dan mengelirukan pasukan ZIST dan peguam bela kanan dari India, serta kekurangan pengetahuannya mengenai dokumen mengejutkan bukan sahaja peguam ZIST dan India, tetapi juga Najib.
Beliau berkata Najib, pada masa sama, kagum dengan strategi dan alternatif yang jelas dan fokus yang dicadangkan oleh peguam bela dari India dan ZIST.
Katanya, sehubungan itu, ia adalah keputusan Najib sendiri untuk menukar peguam dan kritikan sinis Muhammad Shafee dalam media terhadap dirinya dan ZIST dianggap bertujuan menyembunyikan fakta sebenar.