[KEMAS KINI] Peguam Najib mohon tarik diri

August 18, 2022 · Isu semasa

Peguam Hisyam Teh Poh Teik hari ini memohon Mahkamah Persekutuan membebaskan dirinya daripada mewakili Datuk Seri Najib Razak sebagai peguam bela utama, dalam rayuan terakhir bekas perdana menteri itu terhadap sabitan menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd, jika permohonan penangguhan pembelaan tidak diluluskan.

Pada permulaan prosiding hari ini, Hisyam memohon maaf kepada panel lima hakim di Mahkamah Persekutuan dan menekankan keperluan masa yang mencukupi untuk pihak pembelaan menyediakan hujahnya berhubung skop dan rayuan kes ini.

Ini berikutan keputusan awal mahkamah sama yang menolak permohonan pembelaan Najib untuk menangguhkan perbicaraan selama “tiga hingga empat bulan” lagi, dengan Hisyam berkata peguam perlu menyediakan kes mereka selepas dilantik pada jam kesebelas.

Panel lima hakim yang sama, diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, menyampaikan keputusan sebulat suara menolak permohonan itu pada Selasa.

Dalam jawapannya, Tengku Maimun menegaskan mahkamah tidak akan menyemak keputusannya menolak penangguhan dan tiada apa-apa perubahan sejak itu.

“Kami mengulangi alasan itu dengan menolak permintaan ini (pangguhan perbicaraan) dan anda mengatakan anda mahu melucutkan kelayakan diri anda?,” Soal Tengku Maimun kepada Hisyam.

Beliau seterusnya bertanya sama ada Hisyam bersetuju bahawa Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk memastikan ia dapat berfungsi dengan baik, termasuk memastikan proses kehakiman berjalan dengan teratur dan berkesan.

Tengku Maimun: Dan sebagai peguam anda adalah pemain utama dalam pentadbiran keadilan dan mahkamah mempunyai kuasa untuk menjalankan beberapa kawalan apabila perlu untuk melindungi prosesnya. Adakah anda menerima itu?

Hisyam: Saya terima, ya.

Tengku Maimun: Tetapi adakah anda masih mahu melepaskan diri dan membiarkan anak guam anda tidak diwakili?

Hisyam: Ya.

Tengku Maimun mengingatkan Hisyam bahawa sebagai peguam, beliau masih memerlukan kebenaran mahkamah untuk melepaskan diri dan tidak sepatutnya meninggalkan anak guamnya tanpa diwakili, selepas bersetuju dengan pelantikan itu.

“Jadi pada fikiran kami anda tidak sepatutnya melepaskan diri anda tetapi anda harus teruskan. Kami yakin anda boleh uruskan,” katanya.

Tengku Maimun kemudian mengarahkan perbicaraan ditangguh sebentar bagi membincangkan berhubung permohonan Hisyam.

Empat anggota panel hakim lain yang turut bersidang ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Nalini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan; dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Najib sebelum ini diwakili oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada firma guaman Shafee & Co di kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, tetapi yang terakhir telah dilepaskan secara tiba-tiba bulan lalu.

Pada 26 Julai, firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan pelantikannya sebagai peguam cara dan Hisyam sebagai peguam utama.

Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib.

Najib telah didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan dijadualkan berlangsung selama sembilan hari, bermula 15 Ogos hingga 19 Ogos dan akan disambung semula selepas hujung minggu ini pada 23 Ogos hingga 26 Ogos.

Berita berkaitan
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024· Politik
Perbicaraan 1MDB: Saksi beritahu perbincangan atas kapal tiada wakil pegawai kerajaan
January 5, 2024· Isu semasa
Najib mohon DNAA bagi tiga lagi pertuduhan membabitkan kes dana SRC
December 1, 2023· Politik
Bekas ADUN DAP disabit kes rogol lantik Hisyam Teh ketuai pasukan pembelaan
December 1, 2023· Isu semasa
Popular
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024
Annuar yang pernah fitnah Bersatu dilantik pengerusi baharu UDA
March 23, 2023
Ulama tersohor Pulau Pinang Syeikh Abdullah meninggal dunia
January 9, 2022
Beberapa negeri bakal berdepan hujan lebat dan ribut petir esok: MetMalaysia
October 23, 2022
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok