
Peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Hisyam Teh Poh Teik hari ini (19 Ogos 2022) sekali lagi memohon untuk menangguhkan pendengaran rayuan kes SRC pada Selasa dan Rabu minggu depan, tetapi ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan hari ini (19 Ogos 2022) sekali lagi menolak permohonan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan prosiding rayuan terakhir bekas Perdana Menteri itu terhadap sabitan hukuman penjara dan denda dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Terdahulu, pada prosiding petang ini, peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik memohon untuk menangguhkan pendengaran rayuan kes SRC pada Selasa dan Rabu minggu depan.
Hisyam mendakwa permohonan itu disebabkan beliau ada urusan mahkamah yang lain pada hari tersebut.
Beliau bagaimanapun berkata hanya boleh hadir dalam pendengaran rayuan itu pada Khamis minggu depan.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat bagaimanapun menolak permohonan tersebut dan mengingatkan Hisyam Teh bahawa dia masih bertindak sebagai peguam kepada Najib.
“Seperti dinyatakan banyak kali, tiada penangguhan untuk rayuan ini. Kita akan teruskan mengikut jadual,” katanya.
Semalam, panel lima hakim diketuai Tengku Maimun menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mewakili Najib dalam perbicaraan rayuan itu.
“Kami berpendapat peguam itu tidak menunjukkan sebab untuk melepaskan diri. Kami menolak permintaannya untuk melepaskan diri.
“Beliau masih dalam rekod sebagai peguam utama,” kata Tengku Maimun.
Empat anggota panel hakim lain yang turut bersidang ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Nalini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan; dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Timbalan Pendakwa Raya Ad Hoc Datuk V Sithambaram meneruskan penghujahan lisannya petang ini.
Sithambaram memberitahu mahkamah bahawa Najib tidak pernah membuat sebarang pertanyaan dengan AmBank berhubung dana besar yang sentiasa dikreditkan dan didebitkan dalam akaun bank peribadinya sehingga akaun ditutup pada 2015.
Beliau berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap bank itu atas dakwaan salah kredit dan debit dana daripada akaunnya.
“Bukti dua jurubank daripada AmBank iaitu Uma Devi Raghavan dan Joanna Yu Ging Ping menunjukkan Najib tidak pernah membuat sebarang pertanyaan dengan AmBank apatah lagi membuat sebarang aduan berhubung jumlah dana yang besar yang sentiasa keluar masuk akaunnya.
“Malah, perayu (Najib) tidak mempunyai masalah dengan baki banknya sehingga dia menutup akaunnya pada Mac 2015,” katanya.