Peguam Najib kena kuarantin, perbicaraan rayuan ditangguh

Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan perbicaraan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan rayuan berkaitan kes SRC International Sdn Bhd ekoran seorang peguam Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani kuarantin Covid-19.

Peguambela Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan penangguhan perbicaraan tersebut, lapor Bernama.

“Kedua-dua kes (SRC dan 1MDB) terpaksa dilapangkan minggu ini kerana seorang daripada peguam utama pasukan kami menjalani ujian dan kuarantin kerana kontak rapat kepada beberapa pesakit COVID-19 yang disahkan.

“Memandangkan seluruh pasukan telah bekerja rapat dengan peguam, langkah berjaga-jaga perlu diambil,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib melalui pesanan WhatsApp berkata pihak pembelaan telah memohon penangguhan Jumaat lepas.

“Mereka menghantar surat ke mahkamah lewat petang Jumaat,” katanya sambil menambah Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pihka pembelaan.

Hari ini, pihak pembelaan sepatutnya memeriksa balas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, yang merupakan saksi pendakwaan ke-10.

Beliau telah memberi keterangan sejak September tahun lalu.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bagi kes SRC, Najib mengemukakan rayuan terhadap Keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan CBT, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Pendengaran rayuannya dalam kes SRC ditetapkan untuk bersambung pada Khamis ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR