
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Tidak seperti kebiasaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah enggan memberi sebarang komen berhubung prosiding yang sedang dihadapi anak guamnya, Datuk Seri Najib Razak semasa perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bersambung hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Shafee yang sebelum disingkirkan sebagai peguam Najib dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd pada saat akhir dan diganti dengan firma Datuk Zaid Ibrahim berkata pihak media sentiasa memutar belit kenyataannya.
“Kamu (media) sentiasa memutar belit kenyataan saya walaupun di mahkamah.
“Sebarang maklumat mengenai beliau (Najib) kamu boleh cari sendiri,” katanya apabila ditanya berhubung situasi dihadapi Najib ketika ini.
Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan pada Selasa lalu.
Muhammad Shafee tiba kira-kira pukul 2.15 petang tadi bagi menyambung perbicaraan membabitkan kes 1MDB sebentar lagi.
Untuk rekod, Najib ketika ini sedang berhadapan satu lagi pendakwaan di mahkamah melibatkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.